Bola Sepak

Liga M 2022 : Masih terlalu awal nilai prestasi pasukan – Vida


Risto Vidakovic

KETUA jurulatih Melaka United FC, Risto Vidakovic mengakui masih terlalu awal untuk menilai prestasi pemain menerusi perlawanan persahabatan pertama yang dikendalikannya pada Rabu apabila baru sahaja memulakan tugasnya pada minggu ini.

Jelas Vidakovic, dia masih lagi dalam fasa untuk mengenali semua pemain dalam memastikan persediaan pasukan berjalan dengan lebih lancar sebelum sepak mula saingan Liga Super pada 4 Mac depan.

Namun, berdasarkan aksi persahabatan menentang Selangor 2 Rabu lalu menyaksikan banyak perkara yang perlu diperbaiki di mana jurulatih berusia 53 tahun ini tidak menolak barisan pemain masih lagi menyesuaikan diri dengan beberapa perubahan taktikal daripadanya.

“Bagi saya, ia adalah normal untuk permulaan seperti ini sebab pemain perlu sedikit masa untuk sesuaikan diri dengan beberapa perkara yang perlu diubah dan tak semuanya akan lancar pada awalnya.

“Jadi, agak sukar untuk saya beri pendapat mengenai pemain-pemain ketika ini dan hari ini (Rabu) hanyalah perlawanan persahabatan.

“Mereka perlu teruskan usaha keras disebalik kekalahan kepada Selangor 2 dan keputusan ini tidak penting sebab yang paling utama adalah bagaimana mereka bekerja keras dalam latihan, dan ini hanyalah permulaan untuk pemain-pemain perbaiki prestasi mereka”, jelasnya.

Terdahulu, jurulatih dari Bosnia & Herzegovina ini dilantik selaku ketua jurulatih Skuad Hang Tuah yang baharu pada musim ini bagi menggantikan Zainal Abidin Hassan.

Beliau pernah membimbing beberapa kelab sekitar Eropah dan Asia selain pernah bersama skuad kebangsaan Serbia selaku Penolong Jurulatih sekitar 2006 hingga 2007.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: