Antarabangsa

Sadio Mane julang Senegal juara Afrika


Senegal muncul juara AFCON 2021. Foto: Getty Images

Oleh: JJFIRDAUS

SENEGAL berjaya muncul juara Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2021 selepas menewaskan Mesir 4-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan selepas aksi 120 minit.

Sadio Mane berjaya menebus kehampaan awal dengan penalti kemenangan buat Senegal selepas gagal menyempurnakan penalti seawal minit ketujuh apabila sepakan beliau ditepis keluar penjaga gol Mesir, Mohamed Abou Gabal.

Ini adalah kejayaan pertama Senegal di AFCON selepas berjaya layak ke final sebanyak tiga kali dan akhirnya berjaya menebus kekecewaan apabila tewas kepada Algeria 1-0 dalam edisi 2019 yang lalu.

Mohamad Salah sekali lagi gagal memenangi piala bersama pasukan kebangsaan dan beliau yang dikunci rapat sepanjang perlawanan tidak sempat untuk mengambil penentuan penalti selepas dua sepakan rakan sepasukan terkena tiang dan diselamatkan penjaga gol.

Perlawanan akhir yang cukup sengit di Stadium Olembe ini menyaksikan aksi menyerang antara kedua-dua pasukan namun hampa apabila kesemua percubaan berjaya dipatahkan barisan pertahanan.

Aksi dua bintang Liverpool, Sadio Mane dan Mohammad Salah menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak dunia dan diakhirnya Mane berjaya muncul juara dan dapat dilihat dia memujuk Salah yang nyata bersedih dengan kekalahan ini.

Mane (kiri) bercakap dengan Salah dan Abou sebelum sepakan penalti pada separuh masa pertama diselamatkan. Foto: Getty Images

Mohamed Abou Gabal dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir dengan aksi penyelamatan yang cemerlang tetapi dia tidak mampu berkata apa-apa dan hanya mengucapkan syukur dengan pencapaiannya di kejohanan ini.

Pemain legenda Cameroon, Roger Milla menjadi pembawa trofi dengan Aliou Cisse akhirnya berjaya menjulang trofi sebagai ketua jurulatih tetapi nasib berbeza buat jurulatih Mesir, Carlos Quieroz yang masih mencari kemenangan sulung bersama skuad kebangsaan.

Penjaga gol Senegal, Eduardo Mendy dipilih sebagai penjaga gol terbaiki dengan Vincent Aboubakar muncul pemenang kasut emas dengan lapan gol dan Sadio Mane sebagai pemain terbaik kejohanan.

Trofi kemenangan diserahkan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino kepada ketua pasukan Senegal, Kalidou Koulibaly dengan kedua-dua pasukan akan bertemu semula dalam penentuan kelayakan ke Piala Dunia Mac nanti.

Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika 2023 akan berlangsung di Ivory Coast manakala edisi 2025 pula akan diadakan di Guinea yang diumumkan dalam satu majlis ringkas selepas perlawanan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading