Antarabangsa

Fasa baharu Baihakki Khaizan bersama FAS


Baihakki pernah beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT). Foto: AFF

Oleh: JJFIRDAUS

PERSATUAN Bolasepak Singapura (FAS) mengumumkan bahawa bekas pemain kebangsaan, Baihakki Khaizan akan menyertai organisasi itu bermula 15 Februari ini untuk memulakan perjalanan dalam bidang pengurusan bola sepak.

Legenda ‘The Lions’ itu yang mengumumkan persaraan sebagai pemain minggu lalu akan mengambil peranan sebagai Ketua (Projek Khas) dan Duta di FAS dan akan melaporkan diri terus kepada Setiausaha Agong FAS, Yazeen Buhari.

Menerusi peranan baharu ini, Baihakki akan mengetuai projek yang menyasarkan untuk meningkatkan tahap bola sepak di Singapura melalui kerjasama dan kolaborasi bersama pelbagai pemegang amanah.

Dia juga akan terlibat dalam inisiatif ‘Unleash the Roar! (UTR!)’ sebuah projek bola sepak kebangsaan yang direka untuk menyatukan rakyat Singapura menerusi sukan dengan mengembangkan kehebatan bola sepak dan mencipta lebih banyak peluang untuk kanak-kanak mengejar mimpi mereka.

Dengan pengalaman luas dalam bola sepak dengan 140 penampilan bersama skuad kebangsaan, kedua tertinggi dalam sejarah Singapura serta pernah beraksi di tiga liga utama ASEAN di Indonesia, Malaysia, dan Thailand, perlantikan Baihakki akan membawa input berguna kepada bola sepak dalam bab baharu hidupnya ini.

“Minat saya mengenai aspek pentadbiran bola sepak mula berkembang ketika saya berada di penghujung karier saya sebagai pemain. Saya banyak mendapat tahu serba sedikit ketika bermain di Malaysia dan Thailand. Walaupun ianya perkara biasa buat pemain bertukar karier menjadi jurulatih, saya pula lebih berminat untuk melihat bola sepak daripada aspek pengurusan.” kata Baihakki.

“Minat ini semakin berkembang apabila FAS melibatkan saya sebagai duta ketika Piala AFF Suzuki dan saya dapat melihat sendiri bagaimana kerja belakang tabir dilakukan dimana ketika menjadi pemain saya rasakan proses ini tidak penting.”

“Saya juga bersyukur kerana diberi peluang terlibat di dalam projek UTR! yang masih dalam peringkat awal dan saya berharap agar lebih ramai bekas pemain dalam menyertai projek ini kerana saya tahu mereka mampu menyumbang sesuatu untuk kemajuan bola sepak.”

Selain itu, Baihakki juga akan bertindak sebagai mentor dalam pasukan kebangsaan untuk semua peringkat umur, lelaki dan wanita dan mungkin juga menjadi sebahagian dari delegasi pasukan ketika pertandingan antarabangsa.

Sementara itu, Setiausaha Agong FAS Yazeen Buhari pula mengalu-alukan perlantikan Baihakki dan berkata pengalaman yang ada pada Baihakki akan memberi nilai tambah kepada peranan baharunya itu.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading