
Oleh: AMMAR HAZIQ
KEJAYAAN Mano Polking membawa pasukan Thailand muncul juara Piala AFF 2020 menyaksikan Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) melanjutkan kontrak Ketua Jurulatih itu sehingga 2023.
Jurulatih Brazil-Jerman yang berusia 45 tahun itu menandatangi kontrak dalam satu majlis di hadapan Presiden FAT, Somyot Poompunmuang di pejabat persatuan tersebut baru-baru ini.
Polking dalam reaksinya berkata, dia menghargai kepercayaan yang diberikan oleh FAT dan kejayaan muncul juara Piala AFF 2020 hanyalah satu permulaan.
“Saya sangat gembira kerana telah memperbaharui kontrak baru bersama FAT. Saya gembira dengan kerja ini. Inilah adalah kerja idaman saya setelah sekian lama menetap di Thailand. Saya gembira untuk terus bekerja di sini,” katanya yang dipetik melalui Facebook rasmi FAT.
Jelas Polking, mereka mempunyai tiga perlawanan penting dalam kelayakan Piala Asia pada Jun ini dan sasarannya adalah untuk layak ke pusingan akhir yang akan berlangsung pada 2023.
Menurutnya, pasukan juga perlu memberi tumpuan kepada kejohanan Piala AFF 2022 yang dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun ini.

“Kami juga sedang mencari pemain baharu termasuk bintang muda yang bermain dalam pasukan kebangsaan remaja di Sukan SEA dan kejohanan lain. Terdapat banyak pekerjaan yang sedang menunggu kami.”
“Menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Thailand adalah satu kebanggaan buat diri saya kerana menerima sokongan yang baik daripada peminat dari seluruh negara ini,” ujarnya.
Sebagai rekod, Polking dilantik sebagai pengendali Gajah Perang pada September tahun lalu dan diberikan kontrak jangka masa pendek sebagai persiapan menghadapi kejohanan Piala AFF 2020 di Singapura.
Pengurus pasukan Thailand, Madam Pang memilih pengendali tersebut berdasarkan pengalaman luasnya sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan Thailand bermula tahun 2021 sehingga 2013.
Sebagai rekod, Polking juga pernah mengendali beberapa kelab Thai League antaranya Army United pada 2013, Suphanburi FC (2014) dan True Bangkok United (2014-2020) dan berhijrah ke Vietnam untuk menjadi jurulatih Ho Chi Minh City pada musim 2020/2021.
Add Comment