Antarabangsa

Piala Asia Wanita 2022: China muncul juara, Vietnam ke Piala Dunia 2023


Oleh: JJFIRDAUS

KETIKA melangkah masuk ke bilik persalinan untuk rehat separuh masa, pasukan wanita Korea Selatan seakan-akan sudah berjaya memenangi perlawanan akhir Piala Asia Wanita AFC apabila mendahului China 2-0.

Tetapi skrip berbeza berlaku pada separuh masa kedua apabila China bangkit untuk menyamakan kedudukan dan menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan untuk menang 3-2 dan bergelar juara kejohanan 2022 ini.

Kemenangan ini menyaksikan China kini berjaya muncul juara bola sepak wanita Asia buat kali kesembilan selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2006 dan kini fokus mereka terarah kepada Piala Dunia Wanita 2023.

Tiga gol pada minit ke-68, 72 dan 90 masing-masing oleh Tang Jiali, Zhang Linyan dan Xiau Yuyi memastikan kebangkitan dramatik dan memadam kelebihan awal Korea Selatan yang menjaringkan gol pada minit ke-27 dan 45 separuh masa pertama.

China bangkit selepas ketinggalan pada babak pertama. Foto: AFC

Kebangkitan dramatik ini juga mengekalkan rekod luar biasa pengendali China, Shui Qingxia yang mengambil alih tugas sebagai pengurus pada November selepas persembahan buruk China di temasya Olimpik Tokyo 2020.

Qingxia mempunyai rekod tidak pernah tewas satu perlawanan pun dalam kejohanan ini sebagai pemain mahupun pengurus. Beliau bergelar juara sebagai pemain sebanyak lima kali dan kini muncul juara pula sebagai pengurus.

Selain berjaya muncul juara, pasukan China juga berjaya merangkul dua anugerah individu dengan kapten pasukan yang juga penyerang, Wang Shanshan dipilih sebagai MVP manakala penjaga gol, Zhu Yu terpilih sebagai penjaga gol terbaik.

Korea Selatan hanya perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal muncul juara buat pertama kali dalam sejarah dan hanya berpuas hati dengan anugerah Fairplay yang diterima mereka selepas perlawanan akhir itu.

 

Dalam perlawanan Play-off untuk ke Piala Dunia 2023, Vietnam berjaya layak ke Australia dan New Zealand selepas menewaskan Chinese Taipei 2-1 dan muncul pasukan kedua ASEAN layak ke Piala Dunia selepas Filipina yang juga layak buat kali pertama.

Kejayaan ini melengkapkan perjalanan gemilang Vietnam yang berjaya melawan penyebaran virus Covid-19 menjelang aksi di kejohanan ini dan kini berada di pentas terbesar bola sepak wanita pada tahun 2023.

Kekalahan menyaksikan Chinese Taipei menyertai pasukan ASEAN pertama layak ke Piala Dunia, Thailand di Playoff Antara Konfederasi dengan kemenangan akan membawa mereka ke Piala Dunia pertama dalam 31 tahun.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: