Antarabangsa

AFCON 2021: Cameroon bangkit raih tempat ketiga


Cameroon raih tempat ketiga selepas menewaskan Burkino Faso menerusi penentuan penalti.

Oleh: JJFIRDAUS

TUAN rumah, Cameroon berjaya meraih tempat ketiga Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2021 apabila bangkit selepas ketinggalan 3-0 untuk menang penentuan penalti 5-3 menentang Burkina Faso.

Burkina Faso mensia-siakan kelebihan 3-0 seawal 50 minit perlawanan untuk membenarkan Cameroon bangkit mengikat kedudukan 3-3 dalam 15 minit terakhir sebelum terpaksa akur dengan kekalahan ini.

Dua gol dari Vincent Aboubakar pada lima minit terakhir berjaya melengkapkan kebangkitan sensasi Cameroon yang mendapat sokongan dari puluhan ribu penyokong sendiri di Stadium Ahmadou Ahidjo, Yaounde.

Burkina Faso membuka tirai jaringan pada minit ke-24 menerusi jaringan Steeve Yago sebelum kesilapan penjaga gol Cameroon memberikan Burkina Faso kelebihan 2-0 ketika tamat separuh masa pertama.

Mimpi buruk Cameroon berterusan lima minit selepas rehat apabila Burkina Faso sekali lagi berjaya menjaringkan gol ketiga menerusi tandukan cantik Djibril Ouattara yang tidak dikawal dalam kotak penalti.

Segala-galanya berubah memasuki minit ke-73 apabila penyerang, Stephane Bahoken memberikan gol semangat buat Cameroon apabila memanfaatkan aksi kelam kabut dalam kawasan Burkina Faso.

Kegagalan Farid Ouedraogo membaca hantaran lintang berpunca sepakan sudut menyebabkan Vincent Aboubakar mudah menolak masuk gol kedua pada minit ke-85 untuk merapatkan kedudukan 3-2.

Dua minit kemudian, Farid Ouedraogo sekali lagi melakukan kesilapan apabila berlaga dengan pemain pertahanan dan membenarkan Vincent Aboubakar menjaringkan gol penyamaan sekaligus mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Pemain tengah, Blati Toure gagal menyempurnakan penalti keempat Burkina Faso sebelum ketua pasukan Cameroon, Ambroise Oyongo tenang menolak masuk untuk memberikan kemenangan 5-3 dan tempat ketiga kejohanan buat Cameroon.

Kemenangan ini berjaya menebus kehampaan Cameroon yang gagal di separuh akhir apabila tewas kepada Mesir juga menerusi penentuan penalti dan Vincent Aboubakar berjaya meraih anugerah penjaring terbanyak dengan lapan gol sepanjang kejohanan ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: