Antarabangsa

Previu: Abu Dhabi jadi tumpuan kelab-kelab gergasi dunia


Al-Hilal juara Piala AFC 2021.

Oleh: JJFIRDAUS

PIALA  Dunia Kelab FIFA 2021 akan berlangsung dari 3 hingga 12 Februari 2022 dengan bandar Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu akan menjadi tuan rumah kepada kejohanan tahunan yang mengumpulkan juara kelab dari semua benua.

Tujuh pasukan akan bertanding mewakili konfederasi masing-masing dengan Asia diwakili kelab tuan rumah, Al-Jazira dan juara Liga Juara-Juara AFC 2021, Al-Hilal dari Arab Saudi.

Gergasi Liga Perdana Inggeris dan juga juara Liga Juara-Juara UEFA, Chelsea akan mewakili benua Eropah manakala kelab Brazil, Palmeiras akan membawa nama konfederasi CONMEBOL selepas bergelar juara Copa Libertadores.

Juara Liga Juara-Juara CAF, kelab Al-Ahly dari Mesir pula mewakili benua Afrika dan kelab popular Mexico yang juga juara Liga Juara-Juara CONCACAF, Monterrey akan turut sama bertanding.

Benua Oceania pula akan diwakili pendatang baharu Piala Dunia Kelab FIFA, AS Pirae yang merupakan juara sembilan kali liga Tahiti dan mereka dicalonkan oleh Konfederasi Bola Sepak Oceania (OFC) untuk edisi kali ini.

Chelsea mewakili benua Eropah ke pentas Piala Dunia Kelab FIFA 2022.

Ini adalah kali keempat UAE menjadi tuan rumah dan dua venue dipilih menjadi medan pertandingan dengan Stadium Mohammed bin Zayed yang pernah menganjurkan pertandingan ini pada 2009, 2010 and 2017 akan menjadi venue perlawanan pembukaan dan juga perlawanan akhir.

Stadium dengan kapasiti 37,000 tempat duduk ini telah diubahsuai menjelang kejohanan ini manakala Stadium Al Nahyan dengan kapasiti 15,000 tempat duduk menjadi satu lagi venue termasuk perlawanan penentuan tempat ketiga.

Perlawanan pertama akan menemukan Al-Jazira dan AS Pirae dengan pemenang akan berhadapan dengan Al-Hilal di perlawanan ketiga manakala perlawanan kedua adalah antara Al-Ahly dan Monterrey yang berlangsung pada Sabtu.

Palmeiras akan menunggu pemenang perlawanan kedua manakala pemenang perlawanan ketiga akan bertemu juara Eropah, Chelsea di peringkat separuh akhir yang dijadualkan pada 9 Februari nanti.

Selepas Bayern Munich berjaya menjulang kejuaraan kelab dunia 2020, mampukah kelab Eropah meneruskan penguasaan di kejohanan ini sejak 2013 atau mampukah kelab dari benua lain menjadi pencabar kejuaraan.


Add Comment

Click here to post a comment