
Oleh: SURYATI MOHD NOR
NAMA Amar Makruf Sharuddin mungkin masih baharu bagi peminat-peminat bola sepak tempatan.
Namun pemain berusia 20 tahun kelahiran Dungun, Terengganu ini sudah mula mencari tapak kariernya di pentas Eropah, biarpun bermain di liga bawah di Sepanyol.
Apa yang menariknya, perjalanan untuk bergelar pemain antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah atau ada jalan pintas.
Jelas Amar, dia berkelana ke Sepanyol hujung tahun 2020 untuk menyertai Akademi Bola Sepak The Next Generation Sports di Valencia bersama adiknya, Anas Nadawi.
Selama enam bulan bersama akademi tersebut, bakatnya mula mendapat perhatian dan seterusnya mendapat kontrak bersama kelab AD Alcorcon.
“Saya sepatutnya menyertai kelab ini Ogos tahun lalu, namun situasi ‘lockdown’ akibat pandemik Covid-19 menyebabkan saya tertangguh selepas saya pulang bercuti di kampung.
“Awal tahun ini saya kembali dan menandatangani kontrak untuk bersama skuad Bawah 23 tahun AD Alcorcon untuk dua musim (sehingga 2023),” kongsinya kepada CAKAP SUKAN.

Menurut Amar dia memang bersyukur dan gembira dengan peluang yang diperolehi ini.
“Saya dalam fasa cuba menyesuaikan diri dengan rentak ‘tiki taka’, manakala dari segi cuaca dan budaya di sini saya sudah boleh ‘adapt’ dengan baik.
“Awal dulu, ya agak bermasalah buat saya untuk harungi latihan dalam cuaca sejuk, tapi semuanya berjalan lancar selepas hampir beberapa bulan di sini.
“Apabila dapat sertai kelab ini, tumpuan saya hanya untuk terus berkerja keras dan fokus menyertai skuad senior. Dari situ, kalau ada rezeki impian saya untuk bermain dalam La Liga akan tercapai,” ujarnya.
Bagi Amar, peluang yang diperolehi tidak datang bergolek kerana dia telah korbankan masa dan segalanya untuk datang ke Sepanyol.
“Ibu bapa dan keluarga besar saya tidak putus-putus memberi sokongan. Malah saya sedar hanya disiplin saya meletakkan saya di tempat sekarang.
“Awal dulu saya datang ke sini dengan adik saya, tapi sekarang berseorangan kerana dia berada di Malaysia bakal mengharungi peperiksaan SPM.
“Segalanya saya uruskan sendiri di sini. Buat masa sekarang saya cuba mengumpul duit untuk menyewa tempat sendiri memandangkan rumah yang disediakan kelab agak jauh daripada tempat latihan. Saya terpaksa berulang alik menaiki bas dan ‘train’ yang hampir memakan masa selama satu jam. InsyaAllah ada rezeki nanti saya cuba cari tempat yang lebih dekat,” ujarnya.
Dalam pada itu Amar memberitahu, dia bukan daripada mana-mana akademi terkenal Malaysia (Akademi Mokhtar Dahari) dan sebab itu namanya tidak dikenali. Tetapi saya membuat research mengenai latihan di AMD dan saya buat sendiri.
“Saya mencorakkan nama sendiri. Saya berusaha meletakkan disiplin tinggi dalam diri dan bersyukur langkah awal tercapai.
“Saya akan mencari pengalaman dan beri fokus karier di sini terlebih dahulu. Kumpul ilmu dan kalau ada rezeki boleh bermain untuk negara.
“Tapi buat masa mahu fokus seratus peratus untuk kelab sahaja dulu,”ujarnya.
[…] ARTIKEL BERKAITAN: Amar Makruf fokus karier awal di AD Alcorcon, “Saya pemain biasa, bukan dari akademi terkenal nega… […]