Antarabangsa

AFCON 2021: Pemain Cameroon mahu serah wang bonus untuk mangsa rempuhan


Sekurang-kurang lapan maut dalam insiden rempuhan baru-baru ini. Foto: AP

Oleh: JJFIRDAUS

PEMAIN-pemain Cameroon telah meminta president Persatuan Bola Sepak Cameroon, Samuel Eto’o jika wang bonus yang diterima selepas layak ke peringkat kalah mati Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) boleh disumbangkan kepada mangsa rempuhan di luar Stadium Olembe.

Seramai lapan orang penyokong dilaporkan terkorban manakala 38 lagi cedera dengan tujuh cedera parah dalam insiden rempuhan yang berlaku di pintu selatan stadium ketika pertemuan peringkat 16 terbaik menentang Comoros.

Setiap pemain Cameroon menerima bonus sebanyak USD85,000 (RM356,000) kerana berjaya layak ke pusingan kalah mati di mana Cameroon menjadi tuan rumah untuk edisi kali ini.

“Skuad ‘The Indomitable Lions’ telah bertanya kepada presiden FECAFOOT, Samuel Eto’o agar bonus mereka sebanyak 50,000,000 CFA diberikan kepada semua mangsa yang terlibat dalam insiden rempuhan yang berlaku pada 24 Januari lalu.

“Permintaan ini telah dibuat selepas perlawanan suku akhir mereka menentang Gambia di Douala pada 29 Januari lalu dan sudah pasti Eto’o bersetuju kerana terpulang kepada semua pemain untuk membelanjakan wang mereka,” jelas jurucakap pasukan kepada media.

Sekurang-kurang lapan maut dalam insiden rempuhan baru-baru ini. Foto: AP

Selain wang tunai, Cameroon juga mendedikasikan kemenangan 2-0 ke atas Gambia pada peringkat suku akhir itu kepada mangsa-mangsa yang terlibat dan akan kembali ke Olembe untuk berhadapan Mesir dalam perlawanan separuh akhir pada Khamis.

Stadium Olembe kembali mendapat kebenaran untuk menganjurkan perlawanan separuh akhir dan akhir selepas pihak penganjur berpuas hati dengan persediaan keselamatan yang bakal diperketatkan oleh pihak keselamatan stadium.

Kemasukan penyokong ke stadium juga telah dihadkan kepada hanya 48,000 iaitu 80 peratus daripada jumlah 60,000 kapasiti yang mampu ditampung stadium yang baharu dibina diluar ibu kota Yaounde itu.

Sementara itu, presiden Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) Patrice Motsepe berkata pihaknya  yakin dengan kebolehan pasukan keselamatan tuan rumah untuk memastikan insiden yang sama tidak berulang.

Dia juga menegaskan bahawa apabila ianya melibatkan keselamatan, CAF akan memastikan kami sebaris dengan standard yang telah ditetapkan di Eropah serta seluruh dunia.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading