Antarabangsa

Korea Selatan layak ke Piala Dunia Qatar


Dua pemain Korea Selatan meraikan kemenangan ke atas UAE. Foto: AFC

Oleh: JJFIRDAUS

SKUAD elit Asia, Korea Selatan muncul pasukan Asia kedua berjaya layak ke Piala Dunia Qatar 2022 selepas menewaskan Syria 2-0 dalam perlawanan yang diadakan di Dubai untuk mengesahkan dua tempat teratas Kumpulan A.

Dua jaringan menerusi Kim Jin Su dan Kwang Chang Hoon pada babak kedua sudah cukup untuk memastikan Taeguk Warriors layak ke Piala Dunia buat kali kesepuluh berturut-turut sejak edisi 1990 di Itali.

Iran kekal mendahului kumpulan selepas sekali lagi berjaya mencatat kemenangan kali ini 1-0 ke atas UAE walaupun beraksi 10 pemain selepas Sadegh Moharrami dibuang padang pada awal babak kedua dalam aksi di Stadium Azadi, Tehran.

Lebanon pula diikat Iraq 1-1 dengan kedua-dua pasukan masih mampu mencabar UAE untuk tempat ketiga Kumpulan A dengan berbaki dua perlawanan yang akan berlangsung pada Mac nanti.

 

Sementara itu dalam Kumpulan B, Jepun memastikan perebutan tiket ke Qatar kembali terbuka luas selepas menewaskan pendahulu, Arab Saudi 2-0 untuk kekal di tangga kedua dengan 18 mata, satu mata dibelakang Arab Saudi.

Takumi Minamino dan Junyo Ito menjaringkan gol buat Jepun pada setiap babak sekaligus menghadiahkan kekalahan pertama buat Arab Saudi dalam kempen kelayakan Piala Dunia kali ini.

Harapan Australia untuk layak secara automatik ke Piala Dunia sedikit terbantut apabila diikat Oman 2-2 dalam aksi di Muscat selepas Oman berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit terakhir permainan.

Hasil keputusan seri ini, Australia kini di tangga ketiga Kumpulan B dengan 15 mata dan bakal berhadapan laluan sukar dalam baki dua perlawanan menentang Jepun dan Arab Saudi tetapi sudah pun mengesahkan kedudukan tiga pasukan terbaik.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading