
PERSATUAN Bolasepak Mini Malaysia (MiFOM) bakal menganjurkan beberapa aktiviti tahun ini selepas hampir setahun ditubuhkan.
MiFOM yang ditubuhkan April 2021 dilihat bakal memulakan akviti sulung dengan menganjurkan bengkel pertandingan, teknikal dan pengadil pada 19 Februari ini.
Perkara tersebut didedahkan oleh Presiden MiFOM, Tengku Datuk Seri Ahmad Shah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas Mesyuarat Exco kali kedua yang berlangsung pada Khamis.
“Beberapa agenda utama dibincangkan termasuk program-program yang akan dianjurkan pada tahun ini.
“Mini Football ini acara sukan yang masih baharu walaupun ia seperti sukan bola sepak biasa. Apa yang bezanya adalah padang dan saiz gol lebih kecil dan jumlah pemain juga hanya beberapa orang sahaja.
“Saya berharap dengan adanya exco-exco berpengalaman yang pernah mentadbir pasukan bola sepak ini akan berusaha dan menjalankan tugas dengan baik.
“Selain itu, kami akan melancarkan pertandingan pada 19 Mac depan,” jelasnya kepada media.
Dalam pada itu, Ahmad Shah juga berharap akan menerima geran dan bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengembangkan lagi sukan bola sepak mini ini.
“Dari segi untuk mendapatkan tajaan ia bukan mudah memandangkan negara berdepan dengan situasi Covid-19 tahun lalu.
“Namun kami berharap dapat bantuan geran daripada KBS untuk acara sukan ini.
“Dari segi sambutan pula, Kelantan dan Kedah pun sudah menubuhkan pasukan bolasepak mini ini manakala negeri-negeri lain yang berminat termasuk Negeri Sembilan, Perlis, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Terengganu, Kuala Lumpur dan Selangor.







Add Comment