Bola Sepak

“FAM tidak menepati perancangan awal” – Tunku Ismail


Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Laporan khas dari Dubai, UAE oleh SUBKHI SUDARJI

PEMILIK Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ternyata keliru dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tidak menepati perancangan untuk menghantar skuad Bawah 23 tahun negara (B-23)  menyertai Kejohanan Piala AFF 2020 di Singapura, hujung tahun lalu.

Tegasnya, perubahan pada  saat akhir dengan menyenaraikan skuad Harimau Malaya bagi menyertai kejohanan dwi tahunan tersebut ketika beberapa pemain utama sudah memiliki perancangan lain dikatakan telah memberi kesan kepada persiapan pasukan kebangsaan.

“Setahu saya Piala AFF 2020 apabila saya tanya perancangan (pada awal) adalah nak hantar skuad B-23 tahun dan bukannya skuad utama kebangsaan kerana kita nak fokuskan kejohanan yang lain.

“Hantar B-23 untuk beri pendedahan mereka kepada mereka dalam Piala AFF, namun apabila akhir musim… awak (FAM) tukar perancangan. Oleh kerana itu pemain dah kurang semangat kerana mereka (pemain) pun ada perancangan cuti bersama keluarga masing-masing. Jadi saya tahu semangat pasukan sudah pun merosot.

“Pada masa sama, bagi saya jurulatih pun tak memainkan peranan kepimpinan untuk selesaikan situasi, jadi kalau perancangan tak jelas itulah akibatnya, awak (FAM) kena ambil semua faktor-faktor dalam setiap keputusan dan kegagalan dan bukannya ‘clear’ begitu sahaja, itu adalah situasinya,” katanya pada temubual Eksklusif bersama CakapSukan dari Dubai, UAE.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai panggilan skuad Harimau Malaya, TMJ mahu FAM dan ketua jurulatih Harimau Malaya (ketika itu) Tan Cheng Hoe lebih berterus terang kepada media mengenai panggilan pemain untuk bersama skuad kebangsaan.

“Masa ‘call up’… pandangan saya bahawa FAM dan Tan Cheng Hoe kena lebih jelas  dengan media. Saya bagi contoh, Matt Davies ada pembedahan hernia di Jerman… kenapa tak ada cakap?, Corbin-Ong ada ‘groin injury’… kenapa tak ada orang cakap dan Natxo Insa ‘heart rate drop’ dan hantar ke Barcelona untuk pemeriksaan jantung… kenapa tak ada orang cakap?.

“Ada persepsi mengatakan TMJ tak nak lepaskan pemain… kalau betul tak nak lepas kenapa pula Arif Aiman ada (dalam skuad kebangsaan). Bagi saya ada kegagalan komunikasi antara FAM, jurulatih, media dan penyokong kerana terdapat jurang yang tidak telus,” jelas Tunku Ismail.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: