
Oleh: JJFIRDAUS
KEMPEN Kelayakan Piala Dunia Pusingan Ketiga hampir sampai ke penghujung dan Iran menjadi pasukan pertama menempah tempat ke Qatar menerusi kemenangan 1-0 ke atas Iraq dalam aksi di Tehran.
Gol kemenangan Iran dijaringkan Mehdi Taremi pada lewat babak pertama menjamin Iran dua tempat teratas Kumpulan A dan kini sudah boleh memberi tumpuan kepada penampilan ketiga berturut-turut mereka dalam Piala Dunia.
Sementara itu, dua gergasi Asia Jepun dan Korea Selatan mengekalkan haluan mereka ke Qatar menerusi kemenangan masing-masing ke atas China dan Lebanon dan kini di tangga kedua Kumpulan A dan B.
Jepun yang muncul satu-satunya pasukan dari Asia yang layak ke peringkat kalah mati edisi lalu menang mudah 2-0 ke atas China manakala Korea Selatan yang mencari kelayakan ke-10 berturut-turut dipaksa bekerja keras sebelum menang 1-0 ke atas Lebanon.
Dalam aksi di Melbourne pula, Vietnam menjadi pasukan pertama tersingkir dari kelayakan apabila tewas 4-0 kepada Australia walaupun anak-anak buah Park Hang Seo memberikan persembahan yang hebat tetapi belum cukup untuk mengekang Australia.
Skuad Socceroos kini ditangga ketiga Kumpulan B dan berpeluang untuk layak secara automatik ke Qatar dengan berbaki tiga perlawanan menentang Oman, Jepun dan Arab Saudi.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga mencerahkan peluang ke Piala Dunia selepas menewaskan Syria 2-0 dalam aksi di Dubai untuk menduduki tempat ketiga dengan sembilan mata dari tujuh perlawanan.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Arab Saudi mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan B dengan 19 mata apabila menumpaskan Oman di Jeddah sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.
Satu lagi perlawanan akan berlangsung pada 1 Februari ini sebelum dua perlawanan pada penghujung Mac bakal menentukan siapakah yang akan mewakili Asia ke Piala Dunia pada penghujung tahun nanti.
Add Comment