Bola Sepak

Bryan buru posisi penjaga gol utama Melaka United FC


Bryan sedia bersaing untuk berebut tempat utama. Foto: Melaka United FC

PENJAGA gol baharu Melaka United FC, Bryan See sedia bersaing dengan penjaga gol berpengalaman, Norazlan Razali selain bekas rakan sepasukannya, Ahmad Asyraaf Omar bagi memburu slot posisi utama pasukan.

Tambahnya, dia akan berusaha sebaik mungkin selain berharap pengalaman beberapa musim sebelum ini ketika bersama Penang FC, PDRM FC dan PKNP FC akan memberikan sedikit kelebihan.

Dalam masa sama, penjaga gol berusia 29 tahun itu teruja kerana berpeluang berlatih dengan Norazlan yang dianggap sebagai seorang nama besar di arena bola sepak tempatan sambil berharap dapat mempelajari banyak perkara.

“Saya mahu cari cabaran baharu apabila ambil keputusan bersama Melaka dan harap boleh mendapatkan tempat selaku penjaga gol utama di sini.

“Apa yang penting saya kena cepat sesuaikan diri selain beri tumpuan kepada prestasi sendiri kerana bukan mudah untuk bersaing dengan dua lagi penjaga gol yang tidak kurang hebatnya.

“Norazlan merupakan penjaga gol yang sangat berpengalaman manakala Asyraaf, saya sudah cukup mengenalinya sejak di PKNP, dia memang seorang yang berbakat.

“Cuma saya tidak nafikan gembira berpeluang berada dengan seorang penjaga gol seperti Norazlan yang telah melakar banyak kejayaan sepanjang kariernya, harap saya boleh pelajari sesuatu dengan dia,” katanya.

Semasa di Penang, Bryan banyak bertindak selaku pilihan kedua di belakang Samuel Somerville namun telah menampilkan prestasi cemerlang tiap kali diturunkan terutama semasa di Liga Super.

Sebelum ini, Bryan pernah menjadi penjaga gol utama di PDRM FC selama dua musim dan pernah menimba pengalaman bermain di Thai League 3 bersama Bangkok FC.

Bersama Melaka, Bryan begitu teruja dengan melihatkan kualiti sebahagian besar pemain yang dirasakan mampu berikan cabaran sengit kepada pasukan lain.

Kejayaan mara ke separuh akhir TM Piala Malaysia 2021 dijangka mampu menjadi pembakar semangat serta motivasi kepada pemain-pemain Melaka yang pasukan itu ada potensi mencabar kejuaraan.

“Melihatkan pengalaman yang dilalui oleh pemain tahun lepas apabila berjaya mara ke separuh akhir iaitu selangkah sahaja dari pentas akhir, mereka seperti semakin dahagakan kejayaan.

“Harap memori musim lalu akan memberikan keyakinan kepada pemain untuk mendapatkan satu trofi sama ada Piala FA atau Piala Malaysia.

“Malah pemain import Melaka pada musim ini saya nampak cukup berkualiti dari tahun lalu dan harap segalanya akan berjalan baik di Melaka,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: