Bola Sepak

KDA FC rancak dengan aksi pemanas badan pra musim


Pemain-pemain KDA FC menjalani rutin latihan menjelang musim baharu liga 2022. Foto: KDA FC

Oleh: AMMAR HAZIQ

DUA aksi persahabatan awal pada Januari berjaya memberi ruang kepada pasukan kejurulatihan Kedah Darul Aman (KDA) FC mengenalpasti kualiti terutamanya membabitkan pemain-pemain baharu pada musim 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, kemenangan 9-0  ke atas MADA FC pada Isnin dan 1-0 ke atas pasukan Piala Presiden KDA FC pada Rabu tidak menjadi keutamaan sebaliknya adalah aksi pemanas badan.

Menurutnya, beberapa lagi aksi persahabatan  pra musim 2022 sudah pun diatur termasuk satu lagi aksi persahabatan menentang pasukan dari Liga M3, Respect FC.

“Pasukan telah menjalani dua perlawanan persahabatan sejak awal Januari ini. Apa yang barisan kejurulatihan nampak ialah kualiti yang ada pada semua pemain lebih kepada tahap kepantasan. Corak permainan juga pada musim 2022 mungkin akan berubah dan jurulatih tahu bagaimana mahu merencanakan strategi pada aksi sebenar.

Khamal Idris Ali

“Kita akan tingkatkan lagi beberapa aspek untuk memantapkan pemain-pemain pasukan. Harap ia dapat membantu pasukan ketika hendak berdepan Sarawak United FC pada perlawanan pertama Liga Super Malaysia 2022 yang akan berlangsung pada 4 Mac,” katanya semasa ditemui media di Pejabat KDA FC di Bangunan PKNK, Alor Setar selepas Majlis Tandatangan Perjanjian Rakan Rasmi KDA FC & Pelancaran Produk KDA FC & Halo Telco pada Khamis.

Selain itu, Khamal Idris berkata, Hijau Kuning juga bakal bertemu satu lagi pasukan Liga M3 yang juga pasukan Utara iaitu Perlis FC pada awal Februari sebelum berlepas ke Lembah Klang bagi aksi persahabatan beberapa pasukan di sana.

Menurutnya, antara pasukan yang bakal dihadapi adalah PJ City, UiTM FC, PDRM FC dan beberapa pasukan lagi yang belum mendapat pengesahan.

“Selepas tamat di Lembah Klang, kami akan berlepas ke Sabah untuk pertandingan empat penjuru membabitkan pasukan Sarawak United, Sabah FC, KDA FC dan Kelantan FC,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: