Antarabangsa

Musim baharu Liga Premier Singapura tambah jumlah perlawanan


Pasukan SPL bakal beraksi empat perlawanan musim baharu ini. Foto: Singapore Premier League.

Oleh: JJFIRDAUS

LIGA Premier Singapura (SPL) akan membuka tirai pada 19 Februari 2022 dengan perlawanan Piala Sumbangsih di antara juara liga, Lion City Sailors dan Albirex Niigata di Stadium Jalan Besar.

Perlawanan Sumbangsih ini akan bertindak sebagai pembuka tirai untuk musim baharu SPL dan menyaksikan perlawanan sumbangsih ini kembali dipertandingkan selepas tidak diadakan selama dua tahun akibat penularan Covid-19.

Musim ke-27 SPL ini masih diwakili lapan pasukan dan buat pertama kali setiap pasukan akan bertemu sesama sendiri empat kali berbanding tiga pertemuan sebelum ini. Langkah ini adalah salah satu pembaharuan yang dilakukan.

Selain Lion City Sailors dan Albirex Niigata, enam lagi pasukan akan bertanding iaitu Balestier Khalsa, Hougang United, Tampines Rovers, Young Lions, Tanjong Pagar dan Geylang International.

Foto: Singapore Premier League

Pertambahan jumlah perlawanan ini adalah untuk meningkatkan tahap pertandingan selain akan memberikan lebih masa permainan buat semua pemain dan akan menyaksikan liga berakhir pada Oktober.

Kelab kini boleh mendaftar hingga 20 pemain untuk setiap perlawanan. Selain itu, sembilan pemain simpanan dibenarkan berada di bangku simpanan berbanding tujuh sebelum ini selain lima pertukaran pemain juga dibenarkan selaras dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh FIFA.

Selain itu pengelola liga juga bersetuju untuk mengubah kuota pemain Bawah 23 dengan kelab hanya wajib menurunkan satu pemain muda Singapura berbanding tiga sebelum ini.

Penyokong bola sepak di Singapura juga bakal menyaksikan kembalinya pertandingan ‘Singapore Cup’ dengan lapan pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan sebelum dua pasukan teratas akan bertemu di separuh akhir.

Seperti musim sebelum ini, 1,000 penyokong dibenarkan masuk ke stadium dengan setiap penyokong perlu menunjukkan bukti lengkap vaksinasi manakala kanak-kanak perlu ditemani penjaga yang sudah lengkap divaksin.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: