
Oleh: JJFIRDAUS
KETUA FA Senegal mendapat kritikan daripada seluruh peminat bola sepak dunia apabila membiarkan Sadio Mane terus bermain walaupun berlaga dengan penjaga gawang Cape Verde, Vozinha dalam aksi pusingan 16 terbaik Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika.
Insiden pada minit ke-53 itu menyaksikan penyerang Liverpool itu berlaga ketika perebutan bola di udara dan dibenarkan kembali bermain oleh doktor pasukan manakala Vozinha dilayangkan kad merah dan dikejarkan ke hospital.
Tidak lama selepas itu, Mane berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-63 dan akhirnya dikeluarkan sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan susulan.
Selepas melakukan rawatan susulan, pasukan perubatan menyatakan dia tidak mengalami kecederaan yang serius dan gambar Mane dan Vozinha menunjukkan isyarat bagus di hospital kini tular di media sosial.
Keputusan itu mencetuskan marah dan rasa tidak puas hati para penyokong yang merasakan bahawa beberapa protokol keselamatan tidak dipatuhi dan seharusnya Mane dikeluarkan lebih awal biarpun Senegal berjaya mencatat kemenangan 2-0.

Dalam satu lagi perlawanan, sepakan percuma jarak jauh cantik dari Achraf Hakimi membantu Maghribi bangkit untuk menewaskan Malawi 2-1 selepas Youssef En-Nesyri menyamakan kedudukan pada minit terakhir separuh masa pertama.
Malawi mendahului menerusi jaringan bertaraf dunia Frank Mhango dari jarak 40 meter sebelum Hakimi, pemain pertahanan kelab Paris St Germain (PSG) itu mencuri tumpuan penyokong dengan sepakan percuma menarik pada minit ke-70.
Dengan kemenangan ini, sasaran Maghribi untuk layak ke final semakin cerah dan kini menanti pemenang antara Mesir dan Ivory Coast dalam pertemuan suku akhir yang dijadualkan juga pada Ahad.





Add Comment