
Oleh: JJFIRDAUS
KEJAYAAN pasukan tuan rumah, Cameroon layak ke peringkat suku akhir dicemari berita menyedihkan apabila sekurang-kurangnya enam orang disahkan terbunuh akibat dirempuh dan dipijak di luar Stadium Olembe.
Dua gol hasil jaringan pemain penyerang, Toko Ekambi dan ketua pasukan, Vincent Aboubakar berjaya menggembirakan 50,000 penyokong Cameroon yang menewaskan Comoros 2-1.
Namun hal lain pula berlaku di luar stadium apabila penyokong bersesak-sesak untuk cuba masuk ke dalam stadium bagi menyaksikan aksi Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2021.
Saksi di tempat kejadian mengesahkan antara mangsa yang terlibat adalah kanak-kanak yang terperangkap apabila pihak keselamatan stadium mula menutup pintu masuk selepas mencapai tahap kapasiti yang dibenarkan.
Jurucakap Hospital Messassi yang berada berhampiran stadium itu menyatakan mereka menerima kira-kira 40 penyokong yang cedera dan ada antara mereka dalam keadaan parah hingga memerlukan mereka dipindahkan ke hospital pakar.
Dalam satu lagi perlawanan, cerita indah Gambia berterusan apabila pendatang baharu AFCON ini berjaya layak ke suku akhir selepas membenam Guinea 1-0 hasil jaringan Musa Barrow ketika perlawanan berbaki 20 minit.
Hasil keputusan ini, Gambia kini akan berdepan tugas sukar bertemu Senegal di Daoula pada 29 Januari nanti. Dua lagi perlawanan peringkat 16 terbaik bakal berlangsung malam ini antara Maghribi dan Malawi manakala Senegal bertemu Cape Verde.
Add Comment