
Oleh: JJFIRDAUS
PAHANG Rangers mengekalkan kedudukan teratas dalam carta Liga Premier Futsal Kebangsaan selepas tamat sirkit kedua dengan memungut sembilan mata dari tiga perlawanan.
Wakil Pantai Timur ini berjaya memenangi dua perlawanan menentang Perak dan KPT-PST Mustangs dalam sirkit kedua ini selepas menang perlawanan pertama menewaskan Pulau Pinang dalam sirkit pertama minggu lalu.
Dua pasukan dari Selangor, Selangor TOT dan Selangor MAC mendapat kemenangan percuma 5-0 selepas penganjur memutuskan keputusan perlawanan yang tidak dapat diteruskan ekoran penularan wabak Covid-19 dalam skuad Kuala Lumpur City.
Dengan kemenangan percuma ini, Selangor MAC kini berada di tangga kedua dan Selangor TOT ketiga selepas empat perlawanan dengan tiga kemenangan dan satu kekalahan tetap dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

Akibat dari keputusan ini, Kuala Lumpur City kini di tangga ke 12 dengan empat mata dan diharap agar kesemua pemain dan pegawai pasukan segera pulih untuk menghadapi cabaran Sirkit Ketiga.
Kedah dan Pulau Pinang pula semakin mempamerkan aksi memberangsangkan dengan dua kemenangan pada sirkit kedua ini sekaligus melonjakkan kedua-dua pasukan ke tangga keempat dan kelima liga.
Selepas tamat dua sirkit, Kuala Lumpur kekal tercorot tanpa sebarang mata apabila menanggung tiga kekalahan berturut-turut. Skuad KPT-PST Mustangs dan Perak pula masing-masing dengan satu mata menghuni tangga ke 13 dan 14.
Liga Premier Futsal Kebangsaan akan bersambung dengan Sirkit Ketiga bermula 28-30 Januari dengan Stadium Panasonic Shah Alam sekali lagi akan menjadi medan pertembungan pasukan-pasukan futsal terbaik tanah air.











Add Comment