Permotoran

F1: Mercedes AMG Petronas bakal lancar jentera baharu Februari ini


Russell dan Hamilton (kanan) bakal berganding dalam pasukan Mercedes AMG Petronas musim baharu ini.

Oleh: JJFIRDAUS

PASUKAN Mercedes AMG Petronas telah membuat pengumuman untuk melancarkan kereta baharu untuk musim 2022, W13 pada bulan Februari ini.

Juara pengeluar lapan kali berturut-turut itu memilih tarikh 18 Februari untuk membuat pelancaran secara maya untuk para peminat melihat sendiri jentera yang bakal dipandu oleh Lewis Hamilton dan George Russell.

George Russell bakal bergandingan dengan Hamilton buat pertama kali untuk membantu Mercedes memburu kejuaraan kesembilan manakala Hamilton pula cuba untuk memecahkan rekod kejuaraan pemandu sebagai juara lapan kali.

Russell yang sebelum ini tiga musim bersama Williams dan pernah muncul dalam satu perlumbaan bersama Mercedes menggantikan Hamilton bakal melakukan debut penuh di skuad Silver Arrows menggantikan Valtteri Bottas yang berhijrah Alfa Romeo.

Mercedes akan menjadi pasukan keempat mengumumkan pelancaran jentera baharu mereka selepas Aston Martin, McLaren dan Ferrari juga mengumumkan bakal melancarkan jentera mereka pada Februari.

Aston Martin akan melancarkan jentera AMR22 mereka pada 10 Februari manakala McLaren bakal merasmikan jentera MCL36 sehari kemudiannya pada 11 Februari sebelum giliran Ferrari membuat kemunculan pada 17 Februari.

Aksi musim baharu Formula Satu bakal bermula di Grand Prix Bahrain pada 20 Mac dan akan berakhir di Grand Prix Abu Dhabi pada 20 November dengan jumlah 23 perlumbaan, rekod baharu sejarah penganjuran Formula Satu.

Grand Prix Miami, Amerika Syarikat akan melakukan debut pada 8 Mei manakala Grand Prix Australia, Canada, Singapura dan Jepun akan kembali semula selepas dua tahun terpaksa diketepikan akibat penularan pandemik Covid-19.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: