
Oleh: JJFIRDAUS
KEJOHANAN Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2021 kini memasuki peringkat 16 pasukan terbaik selepas kesemua perlawanan peringkat kumpulan dilengkapkan dengan beberapa keputusan yang mengejutkan.
Kini tumpuan para penyokong terarah kepada 16 pasukan yang tinggal dan lapan perlawanan ini bakal menyajikan aksi mendebarkan yang mungkin menyaksikan pasukan pilihan tersingkir awal.
Peringkat kumpulan menyaksikan juara bertahan, Algeria dihantar pulang lebih awal selepas hanya mampu mengutip satu mata dan kekal tercorot dalam Kumpulan E.
Aksi longlai mereka menimbulkan tanda tanya peminat bola sepak kerana mereka baru sahaja menjuarai Arab Cup pada Disember 2021 dan dibarisi pemain-pemain hebat yang beraksi di liga utama dunia.
Selain Algeria, Ghana turut mengalami nasib yang sama pulang lebih awal bagaimanapun nasib berbeza buat dua pendatang baharu Gambia dan Comoros yang berjaya layak ke pusingan seterusnya.

Lapan perlawanan yang dijadualkan bermula 23-26 Januari ini bakal menemukan Burkina Faso dan Gabon di Limbe. Gergasi AFCON, Nigeria pula akan berhadapan Tunisia dalam aksi di Garoua.
Guinea pula akan bertemu Gambia di Bofussam sebelum pasukan tuan rumah, Cameroon dijangka tidak berdepan masalah bertemu Comoros di Stadium Olembe, Yaounde yang pastinya akan dipenuhi penyokong skuad ‘The Indomitable Lions’.
Sadio Mane dan rakan-rakan akan memastikan Senegal berjaya layak ke suku akhir apabila berhadapan Cape Verde manakala skuad Singa Atlas, Maghribi bakal bertemu Malawi dalam satu lagi perlawanan.
Stadium Japoma di Daoula bakal menyaksikan pertembungan hebat antara Ivory Coast dan Mesir dengan Mohammad Salah pastinya ingin mengecapi kejuaraan bersama negara untuk melengkapkan karier gemilang beliau.
Dua negara Afrika utara, Mali dan Equatorial Guinea bakal membuat perhitungan di Limbe dan melengkapkan kesemua perlawanan peringkat 16 terbaik. Lapan pemenang bakal layak ke suku akhir yang dijadualkan pada 29 dan 30 Januari nanti.






Add Comment