Antarabangsa

Piala Asia Wanita: Australia ‘beraya’ 18 gol ke atas Indonesia


Aksi pemain Australia dan Indonesia dalam saingan pertama kumpulan B.

Oleh: JJFIRDAUS

SKUAD kebangsaan wanita Indonesia menerima pengajaran berguna dalam pertandingan antarabangsa apabila dibelasah Australia 18-0 dalam saingan Kumpulan B Kejohanan Piala Asia Wanita 2022 di Mumbai, India.

Pemain Australia, Samantha Kerr menjaringkan lima gol manakala Emily Van Egmond menyumbang empat gol dalam aksi berat sebelah yang menyaksikan The Matilda’s mendahului Garuda Pertiwi 9-0 pada babak pertama.

Lima gol dari Samantha Kerr itu menjadikan dia penjaring terbanyak bola sepak Australia untuk lelaki dan perempuan dengan 54 gol sekaligus mengatasi 50 jaringan yang dihasilkan Tim Cahill sebelum ini.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Filipina berjaya mencipta kejutan apabila menewaskan tetangga Asean yang juga pemenang tempat keempat edisi 2018, Thailand 1-0 sekaligus menduduki tangga kedua kumpulan di belakang Australia.

Perlawanan Kumpulan A pula menyaksikan skuad wanita China selesa membenam Taiwan 4-0 manakala tuan rumah, India berjaya mengikat Iran dengan keputusan 0-0 sekaligus menjadikan saingan terbuka untuk Kumpulan A.

Aksi dari Kumpulan C tidak kurang hebatnya apabila Jepun mudah menjinakkan Myanmar 5-0 untuk permulaan positif bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka pada 2018.

Walaupun dipaksa bekerja keras pada babak pertama apabila hanya berjaya menjaringkan satu gol, Jepun menggunakan seluruh pengalaman yang ada untuk menambah empat lagi gol untuk kemenangan selesa.

Seteru tetangga, Korea Selatan pula membenam cabaran satu lagi pasukan ASEAN, Vietnam 3-0 untuk memastikan mereka mengekori rapat Jepun untuk layak ke peringkat seterusnya.

Perlawanan kedua peringkat kumpulan akan berlangsung pada 23 Januari dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan bakal layak secara automatik ke suku akhir dengan dua pasukan tempat ketiga terbaik bakal melengkapkan jumlah lapan pasukan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: