Antarabangsa

Kejohanan Futsal UEFA buka tirai di Belanda


Foto: UEFA

Oleh: JJFIRDAUS

SEBANYAK 16 pasukan futsal terbaik Eropah bakal bersaing dalam Kejohanan Futsal UEFA 2022 yang akan membuka tirai bermula 19 Januari hingga 6 Februari dengan Belanda dipilih menjadi tuan rumah buat pertama kali dalam sejarah pertandingan ini.

Dua venue dipilih menjadi gelanggang dengan Zippo Dome di Amsterdam akan menganjurkan perlawanan pembukaan, kumpulan dan juga perlawanan akhir manakala Martini Plaza di Groningen akan menjadi venue untuk beberapa perlawanan kumpulan.

Ini adalah kali pertama kejohanan ini dilangsungkan secara empat tahun sekali dengan 16 pasukan tidak seperti kebiasaan dua tahun sekali dengan 12 pasukan bertanding.

Empat negara iaitu Bosnia Herzegovina, Georgia, Finland dan Slovakia melakukan debut manakala empat juara edisi-edisi lalu, Portugal, Sepanyol, Itali dan Russia adalah antara 16 pasukan yang akan menghangatkan pertandingan ini.

Tujuh lagi pasukan yang layak ke kejohanan tahun ini adalah Croatia, Azerbaijan, Kazakhstan, Slovenia, Poland, Ukraine dan Serbia.

Juara tujuh kali kejohanan, Sepanyol diundi dalam Kumpulan D bersama-sama dengan pendatang baharu, Georgia dan Bosnia Herzegovina. Satu lagi pasukan menampilkan Azerbaijan yang membuat kemunculan keenam.

Juara edisi 2018, Portugal pula diundi dalam Kumpulan A yang turut dihuni tuan rumah, Belanda, Serbia dan Ukraine. Portugal selaku pilihan awal kejohanan dilihat tidak berdepan masalah untuk layak ke pusingan seterusnya.

Ekoran daripada langkah pencegahan penularan Covid-19, kejohanan ini akan beraksi tanpa penonton sekurang-kurangnya sehingga tamat peringkat kumpulan akibat dari keputusan pemerintah Belanda yang melarang penyokong hadir ke mana-mana acara sukan sehingga 25 Januari.

Manakala kemasukan penyokong ketika perlawanan peringkat suku akhir hingga akhir pula masih tidak dapat ditentukan dan hanya akan ditentukan kemudian oleh penganjur setelah berbincang dengan pihak berwajib.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading