
Oleh: AMMAR HAZIQ
PADA usia 50-an yang dianggap sudah berusia bagi seseorang pemain bola sepak, rata-rata mereka yang berada pada usia ini pasti memikirkan untuk bersara, tetapi tidak buat pemain legenda bola sepak Jepun, Kazuyoshi Miura.
Bekas pemain kebangsaan Jepun yang bakal menyambut kelahiran yang ke-55 tahun pada 26 Februari ini, secara rasmi berpindah secara pinjaman ke kelab Divisyen 4, Suzuka Point Getters selepas 17 tahun beraksi bersama Yokohama FC.
“Saya bersyukur kerana berpeluang bermain di sini dan akan melakukan yang terbaik untuk menyumbang kepada kelab ini,” katanya dalam satu kenyataan seperti yang dipetik melalui Reuters.
Suzuka Point Getters diuruskan oleh abang pemain tersebut iaitu Yasutoshi Miura dan penghijarahannya itu menyaksikan King Kazu bakal melebarkan kerjaya profesional memasuki tahun ke-37.
Biarpun Yokohama FC tersingkir daripada Liga utama Jepun, J-League selepas menduduki tangga tercorot pada 2021, mereka masih mahu mengekalkan kelibat pemain tersebut, namun Miura memilih untuk dipinjamkan ke kelab baharu kerana mahu beraksi lebih kerap.

Dikenali ‘King Kazu’, pemain ini dilihat masih belum mahu berhenti sebagai pemain bolasepak profesional sejak secara rasmi beraksi pada tahun 1986 dengan mewakili 15 pasukan di Brazil, Jepun, Itali, Croatia dan Australia.
Bersama pasukan kebangsaan Jepun, Miura telah beraksi sebanyak 89 kali dan memenangi Piala Asia pada 1992.
Lebih membanggakan adalah dia muncul penjaring kedua terbanyak buat pasukan negara matahari terbit setakat ini dengan 55 jaringan.
Selepas 36 tahun beraksi, King Kazu mahu bermain secara profesional sekurang-kurangnya semusim lagi apabila dipinjamkan selama tempoh tersebut ke kelab baharunya itu.
Dia kurang beraksi pada musim lalu, namun keinginannya untuk bermain menyaksikan pemain ini melanjutkan lagi rekodnya sebagai pemain tertua Liga J-League apabila beraksi pada usia 54 tahun dan 12 hari semasa Yokohama FC menentang Urawa Reds pada Mac 2021.





Add Comment