Antarabangsa Permotoran Terkini

Qabil Irfan mulakan misi Eropah di Moto4 European Cup 2026

Sebagai rekod, Qabil hadir ke Eropah dengan momentum positif selepas menamatkan Perlumbaan 2 Moto4 Asia Cup di tempat kedua di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, pada awal Mac lalu. 

 

QABIL Irfan Azlan, secara rasmi memulakan misinya di benua Eropah menjelang pusingan pembukaan Kejuaraan Moto4 European Cup 2026 yang dijadualkan berlangsung di Litar Catalunya, Barcelona-Montmeló, Sepanyol, hujung minggu ini.

Qabil yang bersaing bersama pasukan MLav Junior Team itu sedar akan cabaran getir yang menantinya di pentas Eropah.

Bagaimanapun, pelumba berbakat besar ini tetap optimis untuk memberikan saingan sengit kepada barisan pelumba terbaik dari seluruh dunia hasil persiapan rapi serta peningkatan intensiti latihan yang dijalaninya sebelum ini.

Penyertaan Qabil bersama MLav Junior Team dilihat sebagai langkah strategik dalam memacu pembangunan kariernya ke peringkat lebih tinggi.

Pasukan yang berpangkalan di Britain itu mempunyai reputasi gah sebagai antara program pembangunan bakat paling aktif, dengan rekod cemerlang dalam kancah JuniorGP termasuk kejayaan podium serta penglibatan dalam kategori Kejuaraan Dunia Moto3.

Pemilihan Qabil untuk menyertai pasukan berkenaan turut didorong oleh hubungan baik antara bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin, dengan pemilik pasukan, Michael Laverty.

Persefahaman antara kedua-dua pihak tersebut telah membuka ruang buat Qabil untuk berkembang dalam persekitaran perlumbaan yang lebih kompetitif dan profesional di peringkat antarabangsa.

Meskipun terdapat beberapa pasukan lain yang menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya, MLav Junior Team akhirnya dipilih berdasarkan prestasi serta keupayaan pasukan itu dalam menawarkan platform terbaik bagi pembangunan jangka panjang Qabil.

Setakat ini, Qabil dilaporkan semakin serasi dengan jentera Moto4 miliknya dan menunjukkan perkembangan positif sepanjang sesi latihan serta proses penyesuaian bersama pasukan baharunya.

Kejuaraan Moto4 European Cup 2026 bakal berlangsung sebanyak tujuh pusingan, bermula di Catalunya dan akan melabuhkan tirainya di Litar Motor Valley Emilia-Romagna, Itali, pada Oktober depan.

Aksi di Barcelona hujung minggu ini bakal menjadi kayu ukur sebenar buat Qabil untuk menilai kemampuannya sebelum meneruskan misi membawa nama Malaysia ke puncak dunia.

Sebagai rekod, Qabil hadir ke Eropah dengan momentum positif selepas menamatkan Perlumbaan 2 Moto4 Asia Cup di tempat kedua di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, pada awal Mac lalu.

Keputusan cemerlang itu meletakkannya di tangga ketiga keseluruhan carta kejuaraan Asia dengan 30 mata, di belakang pelumba Jepun, Hayato Chishiki (50 mata) dan Waku Kunitate (33 mata).

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment