Antarabangsa Hoki Terkini

Podium Jadi Sasaran Skuad Lelaki Dan Wanita Negara Di Piala Asia B18

Saingan lelaki dan wanita Piala Asia B18 berlangsung serentak di Kakamigahara dari 29 Mei hingga 7 Jun dengan dua pasukan teratas kumpulan layak ke separuh akhir.

KEDUDUKAN podium menjadi sasaran skuad hoki bawah 18 tahun (B18) lelaki negara pada Piala Asia B18 di Kakamigahara, Jepun yang berlangsung 29 Mei hingga 6 Jun ini.

Ketua jurulatih skuad B18 lelaki negara, Mohd Harfizi Baharom memasang impian besar untuk memenangi kejohanan tersebut bagi memastikan reputasi Malaysia kekal dalam kelas tersendiri dikalangan negara benua Asia.

“Kita diletakkan sasaran untuk berada di podium dan kalau boleh kita nak bawa pulang piala. Kita nak jadi juara sebab ini salah satu masa depan buat skuad hoki negara.

“Kalau dari peringkat umur 18 tahun kita dah terapkan pemikiran juara serta cuba dapatkan keputusan terbaik, ia boleh menjadi satu petanda yang positif untuk hoki Malaysia,” katanya.

Pada saingan nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Bangladesh, China dan Pakistan, manakala Kumpulan A terdiri daripada Jepun, India, Taiwan, Korea Selatan serta Kazakhstan.

Pencapaian edisi tahun lalu menyaksikan Malaysia berjaya meraih pingat gangsa dengan menewaskan Bangladesh 5-2 pada penentuan tempat ketiga dan keempat.

Bagi ketua jurulatih skuad hoki B18 wanita negara, Siti Amarina Ruhani, beliau mengambil pendekatan satu demi satu perlawanan dalam usaha ke separuh akhir terlebih dahulu bagi mencapai sasaran podium seperti ditetapkan.

“Dua lawan kita dalam peringkat kumpulan iaitu India dan Korea Selatan juga tidak mengambil bahagian pada edisi tahun lalu. Jadi agak sukar untuk kita kenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka.

“Kita akan cuba sedaya upaya dengan barisan pemain yang dibawa ke sana. Kita akan berikan saingan terbaik dengan misi awal kita cuba ke separuh akhir dahulu,” jelasnya.

Satu lagi lawan skuad B18 wanita negara dalam Kumpulan adalah Singapura sementara Kumpulan B antara Bangladesh, China, Taiwan dan tuan rumah Jepun yang muncul juara edisi 2025.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading