Bola Sepak

Pasukan berdepan hukuman jika beri pinjam lesen – AFL


Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi

Oleh : SUBKHI SUDARJI

LIGA Bolasepak Amateur (AFL) memberi amaran kepada pasukan Liga M3 untuk tidak melakukan perbuatan meminjamkan lesen jurulatih ketika saingan divisyen ketiga itu bakal bermula 11 Februari depan.

Pengerusinya Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, tindakan keras boleh dikenakan ke atas mana-mana pasukan yang didapati bersalah meminjam lesen daripada jurulatih tempatan untuk melepasi syarat penyertaan, tetapi pasukan itu dilatih oleh individu lain.

Tegasnya, jika terdapat kes yang dibuktikan, ia akan dibawa ke Ahli Lembaga Pengarah AFL untuk memutuskan tindakan sesuai, selain merujuk kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyelaraskan tindakan tersebut.

“Kita bersama dengan MFL dan FAM untuk elak perkara ini daripada berlaku dalam AFL. Jadi saya berharap pasukan-pasukan bertanding akan mengikut peraturan ditetapkan, maknanya hanya jurulatih tempatan yang berlesen A sahaja boleh menjadi ketua jurulatih dalam pasukan Liga M3 ini.

“Kita di AFL akan ikut peraturan ditetapkan oleh FAM ataupun MFL, maknanya kalau ada jurulatih yang sekadar menyandarkan (meminjamkan) lesen kepada pasukan, memang kita pun akan ambil tindakan,” katanya.

Ketika ini difahamkan terdengar desas desus mengenai beberapa Liga M3 cuba meminjamkan lesen jurulatih tempatan kepada individu dari luar negara, untuk mengaburi peraturan yang ditetapkan AFL.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: