Bola Sepak

WSL: MBSJ FC hilang kelayakan, “Liga dah cantik, tapi… ” – Steffi


Pasukan MBSJ FC menang 4-0 ke atas First 11 FC Isnin lalu.

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PASUKAN pilihan Liga Super Wanita (WSL), MBSJ FC terlepas untuk aksi ke separuh akhir selepas dibatalkan kemenangan gara-gara kesilapan teknikal dengan memasukkan semula pemain yang telah dikeluarkan.

MBSJ FC didapati melanggar Peraturan Pertandingan (Klausa 20) Peraturan ‘standard substitution’ di peringkat kalah mati dengan memasukkan semula pemain yang telah dikeluarkan pada pusingan suku akhir bertemu First 11 FC.

Hukuman kekalahan ‘walkover’ 0-3 telah dijatuhkan serta kelayakan ke pusingan separuh akhir dibatalkan dan kemenangan diberikan kepada First 11 FC.

Mengakui kesilapan yang dilakukan ketika membuat ‘rolling sub’, kapten MBSJ FC Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh,33, tampil menjelaskan perkara sebenar.

“Rolling sub memang boleh digunakan ketika pusingan kumpulan. Namun pihak penganjur tidak memberi notis rasmi bahawa ia tidak boleh digunakan ketika saingan suku akhir.

“Mereka hanya memaklumkan dalam ‘group’ WhatsApp dan sudah ia tidak sampai kepada semua pemain.

“Memang kami akui terlepas pandang tetapi apa yang berlaku selepas itu membuat saya sangat kecewa dengan penganjur. Liga dah cantik, tapi pengurusan langsung tidak profesional.

“Kami bukan baharu bermain futsal, malah yang ada dalam pasukan ini rata-rata profesional dan pemain kebangsaan, sudah tentu kami tahu peraturan sebenar.

“Lebih membuat saya kecewa cara mereka menguruskan situasi ini. Rakan sepasukan pemain bernombor 16 keluar pada separuh masa pertama. Namun dimasukkan kembali ke separuh masa kedua. Selepas kami menjaringkan gol pada minit ke-42, baharu pegawai perlawanan menghentikan perlawanan seketika dan memberitahu kami bahawa pemain yang dikeluarkan tidak boleh bermain.

“Jadi kami keluarkan dia, dan masukkan pemain baharu meneruskan permainan dan kami menang 4-0,” jelasnya kepada Cakap Sukan.

Steffi mengakui kecewa dengan pengurusan penganjur.

Menurut Steffi, kemenangan itu bagaimanapun dipertikaikan dan mendapat surat daripada FAS (Persatuan Bolasepak Selangor).

“Pemain (no-16) masuk atas kebenaran pegawai perlawanan ke-4. Setiap pemain yang nak masuk mesti melaporkan kepada pegawai perlawanan terlebih dahulu. Dan mengapa pemain itu dibenarkan bermain?

“Dalam surat daripada FAS memanggil wakil MBSJ FC dan First Eleven FC untuk berbincang, namun yang hadirnya adalah jurulatih saya sahaja. Sebaliknya wakil pihak lawan tidak hadir kerana alasan bekerja.

“Di situ juga sebenarnya FAS sudah membuat keputusan tanpa perbincangan kedua-dua pihak.

“Sebelum itu kita ada ‘counter’ dengan surat dalam tempoh 12 jam selepas perlawanan, tetapi pihak lawan telah menghantar surat bantahan 20 minit lewat daripada tempoh yang ditetapkan.

“Dan kami tahu keputusan pasukan kami dibatalkan pukul 10.30 malam semalam,” kongsinya.

Tambah Steffi, mereka bukan bermain untuk kejar wang kemenangan sebaliknya adalah semangat dan rasa sayang kepada bola sepak, malah telah bekerja keras untuk sampai ke tahap ini.

Sepanjang liga berlangsung, MBSJ FC antara pasukan pilihan untuk bergelar juara selepas merakam rekod bersih kemenangan sejak dianjurkan Disember lalu.

Aksi separuh akhir akan diterus pada Isnin dengan pertemuan di antara FC Swat bertemu NSW FC dan First 11 FC bertemu Footsouls.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d