Bola Sepak

Al-Hafiz sedia bantu KDA FC beraksi corak pantas


Al Hafiz (empat kanan) pada sesi latihan KDA FC di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar baru-baru ini. Foto: AMMAR HAZIQ

Oleh: AMMAR HAZIQ

PEMAIN sayap baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Al-Hafiz Harun bersedia beraksi pada corak pantas sekiranya taktikal tersebut diterjemahkan oleh pengendali, Aidil Sharin Sahak pada pentas Liga Malaysia (Liga-M) dan Piala AFC musim 2022.

Pemain lincah kelahiran Sik, Kedah itu dibawa masuk oleh Hijau Kuning dari Penang FC bagi membantu memperkuatkan jentera serangan pasukan tersebut musim ini.

Al-Hafiz berkata, beliau mengakui teruja dan gembira apabila impian untuk beraksi bersama pasukan negeri kelahiran akhirnya menjadi kenyataan.

“Bila masuk ke dalam pasukan Kedah saya rasa macam duduk di ‘kampung’ sendiri. Saya anggap ini satu penghargaan juga buat diri saya.

“(Selain itu) saya juga sudah biasa dengan corak permainan laju yang diterapkan. Kini corak ini diterapkan oleh jurulatih. Saya anggap corak sebegini tidak sukar untuk saya terapkan dalam permainan nanti,” katanya sudah bermain pada tempo tinggi bersama Penang FC sehingga menjaringkan enam gol dengan 35 penampilan sejak 2019.

Al-Hafiz Harun. Foto: AMMAR HAZIQ

Menurutnya, kehadirannya ke KDA FC juga turut mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga dan rakan-rakan yang mahu dia beraksi bersama Hijau Kuning.

“Selain rasa teruja bila balik beraksi ke Kedah, perasaan saya juga kini lebih bersemangat.

“Memang sejak kecil saya sudah ada hasrat untuk beraksi bersama negeri kelahiran kerana siapapun akan mempunyai hasrat beraksi bersama negeri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Al Hafiz berkata, dia mempunyai keyakinan dengan reputasi Aidil Sharin untuk sekali lagi memacu pasukan muda Kedah memberikan cabaran kepada saingan Liga M dan pentas Asia musim ini.

“Saya cukup yakin untuk beraksi pada musim ini kerana strategi yang dibawa Aidil Sharin bersama barisan kejurulatihan lain mampu membawa pasukan dengan lebih berjaya. Ini baik untuk masa depan kerjaya saya,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: