Bola Sepak

Jurulatih Harimau Malaya ‘laku keras’


Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

JAWATAN selaku pengendali Harimau Malaya kini ‘laku keras’ apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima banyak permohonan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe minggu lalu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, proses untuk mencari jurulatih sedang giat diusahakan tetapi segala keputusan hanya akan diumumkan selepas mesyuarat jawatankuasa yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Siapa pengganti Cheng Hoe akan ditentukan oleh Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd. Amin) selepas mesyuarat jawatankuasa dibuat pada bulan ini dan sudah tentu beliau mahukan jurulatih terbaik untuk mengendalikan skuad kebangsaan.

“Apa yang pasti, pihak FAM sendiri sudah banyak menerima permohonan yang berminat untuk menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Malaya tidak kira dalam kalangan tempatan mahupun luar negara.

“Secara keseluruhan, keputusan akan dibuat mengikut kesesuaian kerana ada yang berpendapat jurulatih lokal sesuai untuk pelan jangka pendek manakala jurulatih import pula adalah bagi merangka pelan jangka panjang,” katanya ketika ditemui pada majlis Indian Liga M3, 2022 di Petaling Jaya, hari ini.

Untuk rekod,  Cheng Hoe meletakkan jawatan  awal bulan ini berikutan prestasi hambar skuad Harimau Malaya pada kempen Piala AFF Suzuki 2020 yang lepas.

Dalam perkembangan sama, Yusoff yang juga pengurus skuad kebangsaan turut mengesahkan kedudukan barisan kejurulatihan yang juga pembantu kepada Cheng Hoe seperti S. Balachandran dan Azmin Azram Abd. Aziz hanya akan ditentukan oleh jurulatih baharu nanti.

“Kita akan memberi kebebasan sepenuhnya kepada pengendali baharu skuad kebangsaan dan jika dia mahu mengekalkan khidmat barisan pembantu jurulatih kepada Cheng Hoe atau sebaliknya.

“Jika dia enggan berbuat demikian dan lebih selesa membawa barisan kejurulatihan sendiri, kita tetap akan benarkan tanpa sebarang masalah,” ujarnya.

 

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment