Antarabangsa

AFCON 2021: Maghribi bergaya tempah slot 16 pasukan terbaik


Oleh: JJFIRDAUS

PASUKAN Maghribi membuktikan mereka terlalu kuat buat pendatang baharu Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) Comoros, apabila mencatat kemenangan 2-0 di Yaounde untuk menempah tempat ke pusingan 16 terbaik.

Selim Amallah meletakkan Maghribi di hadapan pada minit ke-16 di Stadium Ahmadou Ahidjo Stadium sebelum jaringan Zakaria Aboukhlal pada masa tambahan babak kedua melengkapkan malam gemilang buat skuad Singa Atlas ini.

Skuad kendalian Vahid Halilhodzic kini mengumpul enam mata dari dua perlawanan dan akan muncul juara Kumpulan C sekiranya berjaya mengelak kekalahan kepada Gabon dalam perlawanan terakhir kumpulan.

Gabon kini di tangga kedua dengan empat mata selepas berjaya mengikat Ghana 1-1 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C sekaligus menyukarkan laluan Ghana dan berkemungkinan tersingkir awal dari kejohanan kali ini.

Ghana mendahului pada minit ke-18 menerusi kapten pasukan André Ayew dan dilihat bakal meraih tiga mata penuh sebelum pemain gantian Gabon Jim Allevinah menyamakan kedudukan dua minit sebelum tamat menyebabkan skuad Black Star perlu menang ke atas Comoros untuk mengelak tersingkir.

Aksi Maghribi bertemu Comoros. Foto: Reuters

Gabon yang terpaksa bermain tanpa tiga pemain utama akibat Covid-19 berdepan situasi sukar apabila penyerang Arsenal Pierre-Emerick Aubameyang terpaksa diketepikan kerana doktor pasukan mengesahkan dia mengalami masalah pada jantung kesan dari jangkitan Covid-19 namun dilaporkan tidak serius.

Dalam perlawanan Kumpulan B pula, penyerang Orlando Pirates Frank Mhango menjaringkan dua gol pada minit ke-43 dan 58 untuk membolehkan Malawi mengejutkan Zimbabwe dengan kemenangan 2-1 dan meningkat kan harapan mereka untuk layak ke peringkat kalah mati AFCON buat kali pertama.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, pasukan pilihan kejohanan, Senegal gagal bermain cemerlang dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 bertemu Guinea sekaligus berkongsi empat mata selepas dua perlawanan.

Senegal yang beraksi tanpa 10 pemain utama juga akibat Covid-19, terpaksa bergantung harap kepada kapten, Sadio Mane yang dibayangi teman sepasukan di Liverpool, Nabi Keita yang jelas menguasai barisan tengah Guinea.

Dengan keputusan ini, Senegal perlu menang ke atas Malawi dalam perlawanan terakhir kumpulan pada Selasa untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya manakala Guinea pula bakal berhadapan pasukan tangga tercorot Zimbabwe di Yaoundé.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: