Antarabangsa

Selepas keputusan kontroversi, pengadil Sikazwe dikejarkan ke hospital


Keputusan Sikazwe menimbulkan kontroversi ketika aksi Tunisia-Mali.

Oleh: JJFIRDAUS

SELEPAS mendapat perhatian peminat bola sepak seluruh dunia, pengadil Zambia, Janny Sikazwe telah dikejarkan ke hospital akibat strok haba dan dehidrasi selepas perlawanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) antara Tunisia dan Mali.

Sikazwe menjadi tumpuan selepas dia meniupkan wisel penamat pada minit ke-85 sebelum sekali lagi meniupkan wisel penamat sebelum tamat 90 minit permainan tanpa memberikan sebarang masa kecederaan.

Kontroversi ini mengakibatkan Tunisia merayu agar perlawanan ini diulang semula kerana mereka berpendapat bahawa banyak masa tambahan perlu diberikan pada penghujung babak kedua ekoran banyak insiden terjadi.

Mali sedang mendahului 1-0 menerusi jaringan Ibrahima Kone dan telah diberikan kemenangan selepas pemain Tunisia enggan kembali ke padang untuk meneruskan baki tiga minit perlawanan.

Sidang media pengendali Mali diganggu pegawai pertandingan yang menyatakan perlawanan akan disambung semula dan kesemua pemain Mali menurut perintah untuk menyambung baki perlawanan.

AFCON menjelaskan bahawa baki tiga minit perlawanan yang bakal bersambung itu akan dilangsungkan dengan pengadil keempat sudah bersedia untuk mengambil alih tugas Sikazwe yang jelas sudah tidak mampu meneruskan perlawanan.

Perlawanan Kumpulan F itu berlangsung dalam cuaca panas sehingga mencecah 36 darjah selsius yang dikatakan menggangu kesihatan pengadil berusia 42 tahun itu.

Satu siasatan penuh harus dilakukan terhadap prestasi Sikazwe. Dia adalah antara pengadil berpengalaman CAF dengan pengalaman menjadi pengadil selama 15 tahun termasuk menjadi pengadil pada perlawanan akhir AFCON 2017 antara Cameroon dan Mesir.

Sikazwe juga pernah terpalit dengan kontroversi apabila dituduh mengambil rasuah pada Januari 2019 selepas perlawanan Liga Juara-Juara CAF antara kelab Tunisia, Esperance dan wakil Angola Primeiro de Agosto.

Rekod baiknya diperingkat antarabangsa menjadikan Sikazwe antara yang terbaik di benua ini. Ketika Piala Dunia 2018, Sikazwe mengadili dua perlawanan iaitu Belgium bertemu Panama dan Poland menentang Jepun menjadikan beliau pengadil Zambia pertama mengadili perlawanan di pentas bola sepak terbesar dunia.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: