Antarabangsa

AFCON: Keputusan ‘pelik’ pengadil cemari perlawanan Tunisia-Mali


Oleh: JJFIRDAUS

PERLAWANAN pertama peringkat Kumpulan F antara Tunisia dan Mali dicemari kontroversi apabila pengadil perlawanan melakukan pelbagai keputusan pelik sehingga mengganggu tempo permainan.

Mali berjaya menewaskan Tunisia 1-0 menerusi penalti Ibrahim Konate namun bukan keputusan itu yang menjadi bualan peminat Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) ini tetapi tindakan pengadil mengundang kritikan.

Dalam aksi lain, pendatang baharu AFCON, Gambia berjaya menewaskan Mauritania 1-0 manakala Ivory Coast juga berjaya memenangi perlawanan dengan kedudukan 1-0 menewaskan Equatorial Guinea untuk melengkapkan pusingan pertama peringkat kumpulan.

Empat kesalahan besar telah dilakukan pengadil dari Zambia, Janny Sikazwe yang pada mulanya telah meniupkan wisel penamat pada minit ke-85 sebelum menterbalikkan keputusan VAR mengenai kad merah dan kemudiannya memberikan penalti kontroversi dan sekali lagi meniupkan wisel penamat sebelum tamat masa sebenar perlawanan.

Pengadil Janny Sikazwe membuat beberapa keputusan kontroversi. Foto: Reuters

Perlawanan diarahkan dimulakan semula dengan berbaki tiga minit tetapi pasukan Tunisia tidak keluar ke padang sekaligus pengadil memberikan kemenangan mutlak 1-0 kepada Mali selepas mereka melakukan sepak mula.

Jurulatih Tunisia ternyata berang dan tidak boleh menerima dengan tindakan pengadil itu dan menganggapnya sebagai pertama kali berlaku dalam karier bola sepak beliau sepanjang 30 tahun.

Akibat daripada kekeliruan yang berlaku, perlawanan seterusnya di stadium yang sama antara Gambia dan Mauritania berlaku kelewatan selama 45 minit dan satu lagi insiden memalukan pihak penganjur berlaku apabila mereka tersilap memainkan lagu kebangsaan Mauritania sebanyak tiga kali.

Gambia berjaya mencatat kemenangan sulung dalam debut mereka di AFCON menerusi jaringan cantik Ablie Jallow pada minit ke-10 manakala dalam satu lagi perlawanan, juara 2015 Ivory Coast mengatasi Equatorial Guinea 1-0 di Douala menerusi jaringan Max-Alain Gradel.

Sementara itu, Cameroon yang menewaskan Burkina Faso 2-1dalam perlawanan pembukaan pada Ahad adalah satu-satunya pasukan yang berjaya menjaringkan lebih dari satu gol setakat ini di AFCON.

Dalam 11 lagi pertembungan, terdapat dua perlawanan yang berkesudahan terikat tanpa jaringan dan sembilan lagi perlawanan berakhir dengan keputusan 1-0.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: