Antarabangsa

Shalika Aurelia pemain bola sepak wanita Indonesia pertama beraksi di Eropah


Pemain pertahanan tengah berusia 19 tahun itu menandatanggani kontrak bersama kelab Itali tersebut pada minggu lalu.

Oleh: AMMAR HAZIQ

ATLET muda Shalika Aurelia Viandrisa melakarkan sejarah buat Indonesia apabila muncul pemain bola sepak wanita pertama dari negara itu beraksi bersama kelab Eropah, Roma Calcio Femminile di Serie B.

Pemain pertahanan tengah berusia 19 tahun itu menandatanggani kontrak bersama kelab Itali tersebut pada minggu lalu sekaligus menjadi inspirasi bukan sahaja kepada pemain-pemain bola sepak wanita di Indonesia tetapi juga negara Asia Tenggara yang lain untuk sama-sama beraksi di sana.

Shalika Aurelia sebelum ini pernah menjalani ujian pemilihan bersama pasukan wanita West Ham United di Liga Inggeris pada 2019 dan pasukan wanita Liga Jerman, Bayern Munich pada tahun 2021.

“Kekuatan saya adalah dalam pertahanan, baik di udara dan dalam situasi satu lawan satu serta memintas pemain lawan.

“Saya benar-benar mahu meningkatkan teknik saya dan menjadi lebih selesa bermain bola dari belakang untuk membina serangan.

“Pasukan ini adalah tempat yang bagus untuk saya belajar tentang bola sepak Itali. Saya teruja untuk bermain dalam Serie B dan akan memberikan segala-galanya kepada pasukan ini,” katanya seperti dipetik melalui laman web rasmi Roma Calcio Femminile.

Pemain tinggi lampai ini dilaporkan bermain bolasepak sejak usia 14 tahun dan disebabkan kualiti yang tinggi dimilikinya menyaksikan terpilih bermain bersama pasukan wanita Indonesia bawah 16 tahun.

Shalika Aurelia kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah universiti dalam komunikasi digital selain turut berminat dalam beberapa lapangan sukan lain iaitu tinju, golf, angkat berat dan juga bola keranjang.

Kejayaan bekas pemain pasukan wanita Persija ini beraksi di Eropah telah mengikuti langkah beberapa pemain lelaki kebangsaan Indonesia antaranya Egy Maulana Vikri yang beraksi bersama FK Senica di Slovakia, Witan Sulaeman (KS Lechia Gdansk di Poland) dan Elkan Baggott yang bermain bersama pasukan bawah 23 tahun Ipswich Town.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: