Antarabangsa

Piala Asia Wanita 2022: Momen indah pasukan Indonesia selepas tiga dekad


Zahra bersama rakan sepasukan merai kemenangan layak ke Piala Asia Wanita 2022. foto: AFC

MOMEN terbaik pasukan bola sepak wanita Indonesia apabila menyaksikan mereka beraksi di pentas Piala Asia Wanita 2022 bermula minggu ini yang berlangsung di India.

Selepas tiga dekad menunggu (sejak 1989), Garuda Pertiwi bakal memulakan kempen bagi Kumpulan B bertemu Australia Jumaat ini.

Selepas aksi kelayakan penuh berliku yang berlangsung di Dushanbe, Tajikistan sebelum ini, skuad kendalian Rudy Eka Priyambada kini dengan bangganya mengibar bendera Indonesia di pentas Asia.

Salah seorang pemain muda Zahra Muzdalifah,20, yang bermain dalam Liga Putri 1 Indonesia bagi pasukan Persija Putri mengakui pencapaian terbaik pasukan negaranya selepas sekian lama.

Zahra merupakan pemain pasukan Persija Putri. Foto: IG Zahmuz12

“Sudah tentu saya sangat teruja. Kami tahu Indonesia sudah lama tidak beraksi di Piala Asia selama 33 tahun dan kami akan bertemu Australia dan Thailand…kedua-duanya pasukan Piala Dunia.

“Saya sangat gembira bertemu mereka. Saya sangat bangga. Kami dapat bermain dan bertemu dengan pemain seperti Sam Kerr dan pemain profesional lain yang boleh memberi pengalaman baik untuk kami,” jelasnya kepada AFC.

Zahra telah merakam rekod penampilan 19 kali bersama Indonesia sekaligus menjadikan antara pemain berpengalaman dalam skuadnya itu.

Dia turut menjaringkan dua gol ketika aksi Sukan Asia 2018.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam bola sepak, Zahra memberitahu dia bermula dengan pasukan lelaki.

“Sebenarnya bukan normal wanita bermain bola sepak di negara saya. Tetapi saya berbeza.

“Dulu hanya saya seorang sahaja perempuan yang bermain dalam pasukan lelaki. Orang selalu pandang rendah, tetapi saya buat apa yang saya suka. Saya tidak peduli apa orang fikir.

“Bola sepak ada minat saya dan bersyukur kerana keluarga sangat menyokong.

“Saya pernah berada dalam pasukan lelaki dan menyertai pertandingan di luar negara, Norway, Korea Selatan, Singapura dan Malaysia dan kami menang. Kami menang empat kali dalam pertandingan antarabangsa.

“Dan sebab itu, ramai media datang bertemu saya kerana saya seorang sahaja perempuan.

“Semua orang cakap “tengok sana… ada pemain perempuan dalam pasukan lelaki” dan Indonesia sedar bahawa bukan hanya lelaki sahaja boleh bermain bola sepak, tetapi perempuan pun boleh,” kongsinya.

Kali terakhir pasukan wanita Indonesia beraksi di pentas Piala Asia pada tahun 1989 dengan menamatkan saingan di kedudukan kelima.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: