Bola Sepak

“Mendiang seorang yang lemah lembut dan sangat berdedikasi…”


Oleh: SURYATI MOHD NOR

PEMERGIAN bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh atau lebih dikenali Shebby Singh sememangnya mengejutkan semua warga bola sepak tanah air.

Kematian mengejut yang dilaporkan akibat serangan jantung Rabu lalu menyaksikan arena bola sepak negara kehilangan besar individu yang dikenali sangat komited dengan bola sepak.

Pada upacara penghormatan terakhirnya hari ini, ramai bekas rakan-rakan seperjuangannya ketika bersama Kuala Lumpur dan pasukan negara hadir mengucapkan selamat tinggal kepada mendiang Shebby.

Antara yang turut hadir ialah jurulatih Sri Pahang FC Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan (Melaka United), Datuk K.Rajagobal, Subadron Aziz, S.Balachandran, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City  FC Standley Bernard, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan ramai lagi.

Dollah Salleh

Jurulatih Dollah sempat berkongsi kenangan bersama mendiang ketika bergelar pemain satu ketika dulu.

“Sebenarnya banyak kenangan dengan dia. Paling ingat ketika di padang dia seorang yang bising dan  selalu mengarah rakan-rakan lain. Dia seorang yang berdisiplin. Tetapi di luar padang dia seorang yang lemah lembut.

“Tetapi apabila dengan dia mesti berlembut. Saya tidak tahu kenapa. Malah dia membahasakan dirinya ‘Shebby’ apabila bercakap dengan saya.

“Satu lagi yang paling saya ingat adalah setiap kali berjumpa, di tangannya mesi ada majalah ‘Shoot’. Sebab itulah dia sangat mahir dalam komen fasal liga atau pemain-pemain Inggeris. Memang ‘tip top’,” jelasnya kepada ditemui media di perkarangan Loke Yew Crematorium pada Jumaat.

Sementara itu, Zainal Abidin mengakui pemergian Shebby adalah satu kehilangan besar kepada bola sepak negara kerana pengalamannya.

“Mendiang seorang yang suka membawa majalah bola. Apa sahaja majalah mengenai bola sepak dia akan ada terutamanya majalah Shoot yang mesti ada dengannya.

“Dia seorang yang sangat disiplin dan berdidikasi besar dalam bola sepak.

Zainal Abidin berkongsi kenangan ketika bersama mendiang Shebby.

“Saya dengannya lama bermain bersama dalam skuad kebangsaan selama 10 tahun dan dia adalah senior dua tahun daripada saya.

“Banyak kenangan manis bersama mendiang. Lebih kurang tiga bulan lalu ada WhatsApp dengannya dan berjumpa di Johor Bahru.

“Tiada perkara lain yang kami borak selain bola sepak. Masa tu mendiang kelihatan ‘fit’ dan aktif.

“Jadi pemergiannya ini sangat mengejutkan,” kongsi Zainal.

Rabu lalu dilaporkan Shebby meninggal dunia pada usia 61 tahun disebabkan serangan jantung ketika sedang berbasikal di Kledang, Johor.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: