
Oleh: AMMAR HAZIQ
PEMAIN import baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Dechi Marcel N’Guessan teruja dapat beraksi bersama kelab tersebut pada musim 2022 dan memasang nekad untuk kembali membalas kepercayaan pada saingan Liga Malaysia dan pentas Piala AFC.
Katanya yang mendapat gelaran Kante oleh peminat semasa beraksi bersama Terengganu FC (TFC), peluang bekerjasama dan berada di bawah Aidil Sharin yang merupakan salah seorang jurulatih terbaik di Liga Malaysia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Saya gembira dapat beraksi bersama pasukan ini. Aidil Sharin adalah antara jurulatih terbaik di Liga Malaysia ketika ini.
“Beliau juga turut meminta semua pemain agar berlatih sepenuhnya pada latihan pra-musim 2022 sebagai persediaan rapi sebelum Liga Malaysia 2022 bermula.
“Penyokong Kedah juga mengalu-alukan kehadiran saya ke sini. saya mahu membuktikan kepada mereka (pemilihan KDA FC mendapatkannya adalah tepat). Saya mahu mengembirakan penyokong Kedah,” ujar Marcel.

Pemain berusia 30 tahun yang berasal dari Ivory Coast ini berkata, minggu pertama latihan rasmi bersama semua pemain Hijau Kuning sudah menampakkan keserasian dan mengakui semakin serasi dengan pasukan tersebut.
Menurutnya, dia secara peribadi mahu meningkatkan lagi corak permainannya termasuk memahami dengan cepat taktikal yang akan diterapkan oleh Aidil Sharin untuk KDA FC musim ini.
“Kami juga sedang menunggu tiga lagi pemain import yang akan melengkapkan pasukan ini. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan mereka.
“Saya mahu terus bekerja keras pada musim 2022 terutamanya dalam membalas balik kepercayaan kepada pihak pengurusan,” ujarnya.
Marcel adalah import kedua diikat oleh KDA FC selepas pemain dari Korea Selatan, Jang Suk Won diumumkan sebagai pemain import pertamanya bagi musim 2022.
Add Comment