Bola Sepak

Hari lahir ke-32 tahun Forestieri bersama JDT


Forestieri memakai jersi bernombor 45 bersama JDT. Foto: JDT

Oleh: JJFIRDAUS

KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan menandatangani bekas pemain Watford, Sheffield Wednesday dan Udinese, Fernando Forestieri sebagai bintang terbaharu mereka menjelang musim Liga Malaysia 2022.

Forestieri yang akan menyambut ulang tahun ke-32 pada 15 Januari (esok) segak melangkah keluar dari limosin mewah dan disambut Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards serta Ketua Jurulatih, Benjamin Mora menerusi video yang disiarkan oleh laman sosial rasmi kelab.

Pemain berasal dari Argentina ini bakal menyarung jersi bernombor 45 dan akan berganding bersama-sama pemenang Anugerah Kasut Emas, Bergson Da Silva sekaligus bakal menambah lagi sengat di bahagian serangan JDT.

Forestieri banyak menghabiskan kariernya di Eropah kerana mempunyai pasport Itali dan pernah muncul antara wira skuad Watford ketika menewaskan Leicester City secara dramatik untuk layak ke Liga Perdana Inggeris pada musim 2013.

Forestieri bakal menyambut kelahiran ke-32 tahun esok.

Selain itu, dia juga dianggap pemain yang diminati penyokong kelab Sheffield Wednesday apabila berjaya menjaringkan 40 gol dalam 128 penampilan bersama The Owls sebelum berhijrah ke Udinese pada musim 2020.

Kehadiran Forestieri ini bertepatan dengan persediaan pra musim JDT yang bakal diadakan di Dubai bermula penghujung Januari ini dengan lawan dari Eropah seperti MSK Zilina, Riga FC, Rodina Moscow dan Spartak Moscow bakal menguji skuad JDT.

Juara lapan kali berturut-turut Liga Super ini membuktikan mereka serius menghadapi musim baharu ini dan JDT juga akan bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC yang dijadualkan berlangsung pada April nanti.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: