
Oleh : SUBKHI SUDARJI
BEKAS Ketua pasukan Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar sudah memulakan latihan bersama majikan baharunya, Sabah FC semalam.
Selain Baddrol kelihatan juga bekas pertahanan kental KDA FC, Mohd Rizal Ghazali yang turut memperkuatkan Sang Badak di bawah bimbingan bekas Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee.
Kehadiran Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia 2022 kali ini dilihat berbeza dan dinamik dari segi semua bahagian apabila beberapa nama berjaya dipancing untuk memperkuatkan pasukan.
Antara nama yang menyertai pasukan kelompok lapan terbaik Piala Malaysia 2021 ini adalah beberapa tonggak utama Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat, Dominic Tan dan pemain berpengalaman Mohd Amri Yahya yang kekal khidmatnya bersama pasukan serta tonggak pertahanan Park Tae Su dari Korea Selatan akan bersama pasukan itu untuk musim keempat.
Selain itu beberapa muka baharu ialah Mohd Afiq Yunus @ Apeng dan Dirga Surdi, kedua-duanya bakat tempatan berasal dari Labuan dan Sabah.
Sebagai rekod, Sabah menduduki tangga kesembilan Liga Super musim ini sebelum menamatkan saingan Piala Malaysia di peringkat suku akhir selepas tewas 1-3 secara agregat kepada Melaka United.
Add Comment