
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Shaari Mat Hussain, membidas pendapat sesetengah pihak yang menuding jari kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, atas kegagalan skuad Harimau Malaya di Piala AFF Suzuki 2020 baru-baru ini.
Shaari menyifatkan Hamidin sebagai seorang pemimpin yang komited serta bekerja keras untuk memastikan kelestarian FAM dan industri bola sepak negara.
“Adalah tidak adil beban dan kesalahan ditujukan kepada Hamidin. Memang benar FAM mengambil sepenuhnya tanggungjawab atas kegagalan tersebut tapi untuk menyalahkan beliau adalah tidak wajar.
“Saya lihat beberapa kritikan yang ditujukan kepada beliau bersifat peribadi dan bukannya atas dasar fakta serta hakikat,” katanya.
Sambil menerima pandangan secara terbuka bahawa beberapa kelemahan dari segi pengurusan pasukan kebangsaan harus diperbaiki, Shaari menganggap tidak ada organisasi yang sempurna, sebaliknya FAM sentiasa mencari jalan memajukan bola sepak.
“Bumi mana tidak ditimpa hujan yang penting semua teguran dan pandangan diambil kira untuk kami bergerak ke hadapan,” katanya.
“Sepanjang tiga tahun beliau menjadi Presiden FAM, beliau tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangan pasukan kebangsaan, sama ada skuad bawah 19 tahun, bawah 23 tahun dan skuad kebangsaan.
“Kebanyakan aktiviti FAM juga beliau hadiri dan beri sokongan penuh atas komitmen beliau selaku Presiden. Kita kena ingat jadual Piala AFF Suzuki 2020 sebenarnya banyak kali ditukar, asalnya Mac, kemudian Jun, Ogos dan akhirnya dimuktamadkan sebagai Disember. Hendak susun jadual susah”.
Shaari menegaskan daya kepimpinan Datuk Hamidin membantu mendorong urus setia untuk menarik 18 rakan penaja yang membantu FAM ketika ini dalam menghidupkan pelbagai aktiviti dan pertandingan di bawah naungan FAM.
“Tapi FAM terima hakikat bahawa kemampuan FAM mentadbir urus bola sepak dihakimi menerusi prestasi pasukan kebangsaan walaupun ia tidak memberi gambaran sebenar terhadap corak kempimpinan Datuk Hamidin,” katanya.
Add Comment