Bola Sepak

Piala Sumbangsih 2022 : JDT nanti kunjungan KL City FC di SSI


Oleh : SUBKHI SUDARJI

JUARA Liga Super 2021, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menjadi tuan rumah pada perlawanan Piala Sumbangsih 2022 menentang Kuala Lumpur City FC yang dijadualkan 26 Februari 2022 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, selaku juara Liga Super musim lalu, JDT bakal membuat perhitungan menentang Juara Piala Malaysia 2021,  KL City FC.

Katanya, Piala Sumbangsih tidak akan lagi menjadi sebahagian daripada aksi Liga Malaysia (Liga M) bagi saingan musim ini.

“Pada 26 Februari, perlawanan sumbangsih iaitu Piala Sultan Ahmad Shah sekarang bukan sebahagian daripada liga. Ia satu perubahan pertama yang saya perlu maklumkan.

“Perlawanan ini akan dimainkan di venue juara Liga Super, jadi ia akan berlangsung di Johor. Bagi memastikan perlawanan Piala Sumbangsih in dilaksanakan dengan sempurna, MFL, JDT dan KL City akan bekerjasama.

“Kita akan pastikan pengendalian Piala Sumbangsih secara bebas di luar jadual liga untuk memastikan kelancaran liga tahun 2022 dilaksnakan dengan satu perlawanan pembuka tirai,” katanya selepas Majlis Taklimat Kalendar Liga M 2022 yang diadakan secara maya, hari ini.

Selain itu, mengikut peracangan MFL, siangan Liga Super akan bermula pada 4 Mac, manakala perlawanan pertama Liga Perdana pula dijadualkan pada 5 Mac.

Dalam perkembangan sama juga,  Stuart memaklumkan tiada sebarang kiraan mata diambil pada keputusan perlawanan tersebut.

JDT telah tujuh kali beraksi dalam perlawanan  Piala Sumbangsih bermula 2015 sehinggalah 2021 dengan hanya tewas sekali ditangan Kedah pada 2017 menerusi penentuan sepakan penalti sebelum mereka gah menjulang kejuaraan empat tahun berikutnya secara berturut-turut.

Pertembungan menentang KL City FC, 26 Februari 2022 ini dianggap menarik apabila skuad bimbingan Bojan Hodak melakar kejutan menewaskan JDT, 2-0 pada pentas akhir Piala Malaysia 2021.

Untuk rekod JDT adalah juara Piala Malaysia pada 2019 dan juara bertahan selepas tiada kejohanan pada 2020 susulan pandemik Covid-19.

 

 

 

 

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: