Antarabangsa Bola Sepak Terkini

TMJ tokoh kepimpinan sukan Anugerah SAM-100 PLUS 2025

Usaha baginda merangkumi pembinaan infrastruktur bertaraf dunia seperti Stadium Sultan Ibrahim serta pengilhaman pusat belia (TMIYC) dan Khabib Gym, yang sekali gus membina landasan mengangkat Johor sebagai hab sukan kebangsaan.

KEPIMPINAN progresif serta visi luar biasa Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam memacu pembangunan sukan di negeri itu membolehkan baginda dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025.

Pengiktirafan itu diberikan atas kejayaan baginda mentransformasikan landskap sukan Johor menerusi pendekatan moden, profesional dan bertaraf antarabangsa sehingga negeri itu muncul antara kuasa sukan paling berpengaruh di negara ini.

Di bawah kepimpinan baginda, Johor Darul Ta’zim (JDT) berkembang menjadi jenama sukan paling berjaya dan berpengaruh di Malaysia dengan dominasi berterusan dalam saingan domestik selain mencipta sejarah di pentas Asia.

Kejayaan menjuarai Piala AFC 2015 menyaksikan JDT muncul kelab bola sepak Malaysia pertama menjulang trofi berprestij Asia itu, sekali gus mengangkat nama Johor dan negara di peringkat antarabangsa.

Selain pencapaian di atas padang, Tunku Mahkota Ismail turut berjaya membina penjenamaan JDT sebagai sebuah organisasi sukan moden dan bertaraf dunia menerusi pengurusan profesional, pemasaran strategik, pembangunan infrastruktur moden serta penggunaan teknologi dan sains sukan.

Penubuhan akademi bola sepak moden dan pembangunan kemudahan bertaraf antarabangsa di Johor turut menjadi asas penting dalam melahirkan bakat muda secara sistematik dan kompetitif, selaras dengan hasrat baginda yang mahu melihat Johor menjadi negeri contoh dalam melaksanakan agenda Negara Sukan menjelang 2030.

Usaha baginda merangkumi pembinaan infrastruktur bertaraf dunia seperti Stadium Sultan Ibrahim serta pengilhaman pusat belia (TMIYC) dan Khabib Gym, yang sekali gus membina landasan mengangkat Johor sebagai hab sukan kebangsaan.

Ini dapat dilihat apabila tumpuan baginda melangkaui sukan bola sepak apabila turut memberi perhatian terhadap pembangunan sukan lain di Johor termasuk ragbi, badminton dan sukan permotoran.

Ia terbukti dengan pelantikan barisan bintang sukan tanah air dan dunia sebagai ikon sukan Johor yang terdiri daripada Datuk Lee Chong Wei selaku duta sukan badminton, bekas bintang ragbi New Zealand Sonny Bill Williams dan bekas juara UFC Khabib Nurmagomedov.

Menerusi pendekatan baginda, Johor Tigers terus berkembang sebagai antara pasukan ragbi paling kompetitif di negara ini dengan sistem pengurusan lebih profesional serta pembangunan bakat akar umbi yang tersusun.

Dalam arena permotoran pula, penubuhan JDT Racing Team dengan penyertaan pelumba berpengalaman negara Hafizh Syahrin Abdullah, mencerminkan kesungguhan baginda memperluas jenama Johor dalam sukan berprestij selain membuka peluang kepada pembangunan bakat tempatan dalam bidang tersebut.

Naib Presiden SAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah SAM-100PLUS 2025 Mohd Hazreen Nor Mubarak berkata pendekatan holistik dan berpandangan jauh Tunku Mahkota Ismail dalam pembangunan sukan bukan sahaja berjaya meningkatkan standard pengurusan sukan di Johor, malah menjadikan negeri itu sebagai contoh terbaik ekosistem sukan moden di Malaysia.

“Penganugerahan Tokoh Kepimpinan Sukan ini adalah penghargaan terhadap dedikasi, kepimpinan dan impak besar baginda dalam memperkasakan pembangunan sukan Johor serta mengangkat imej negeri berkenaan di persada antarabangsa,” katanya.

Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2025 diadakan di sebuah hotel di ibu negara pada 13 Mei 2026 dan akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2025, pengiktirafan diberikan menerusi Anugerah Atlet Muda Terbaik, Persatuan Sukan Dinamik, Anugerah Atlet Terbaik, Anugerah Atlet Para Terbaik, Anugerah Persatuan Sukan Dinamik dan Anugerah Khas.

Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2025, turut dirai pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2025 ialah wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM65,000.

Anugerah dibahagi kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka), Fotografi Sukan Terbaik serta Anugerah Pengulas Sukan Popular.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading