Bola Sepak Komentar

Tempoh ‘semua okay’ sudah tamat buat Hamidin… Badan Siasatan Bebas biarlah berbisa!


Oleh: MOHD FARIQ

SEBAGAI penulis sukan yang lebih 30 tahun berkecimpung dalam arena sukan, saya tidak terkejut apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertubi-tubi dikecam oleh pelbagai pihak, khususnya netizen berikutan kegagalan skuad negara melepasi peringkat kumpulan di Piala AFF Suzuki 2020, diikuti dengan peletakan jawatan jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Menyingkap sejarah bola sepak negara, kegagalan bukanlah sesuatu yang asing sepanjang lima atau enam dekad lalu.

Sejak Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Moscow 1980 yang akhirnya diboikot Kerajaan Malaysia, apakah kejayaan yang dicatat oleh pasukan negara?

Saya hendak segarkan ingatan anda.

1989 – Emas Sukan SEA di Kuala Lumpur

1996 – Naib juara Piala AFF

2001 – Perak Sukan SEA di Kuala Lumpur

2003 – Gangsa Sukan SEA di Hanoi

2005 – Gangsa Sukan SEA di Manila

2007 – tewas kepada China, Uzbekistan dan Iran di Piala Asia AFC

2009 – Emas Sukan SEA di Laos

2010 – Juara Piala AFF

2011 – Emas Sukan SEA di Jakarta

2014 – Naib juara Piala AFF

2017 – Perak Sukan SEA di Kuala Lumpur

2018 – Naib juara Piala AFF

Tidak banyak yang boleh diperkatakan, kecuali gelaran Piala AFF 2010 dan dua pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011.

Saya berada di Jakarta membuat liputan Sukan SEA 1997 apabila pasukan negara kendalian Wan Jamak Hassan tewas kepada Laos 0-1 lalu tersingkir awal, sehingga muka belakang akhbar The Malay Mail mendesak agar Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan anakanda Baginda Tengku Abdullah (waktu itu) meletak jawatan.

Ketika anak buah Norizan Bakar tersungkur di bumi sendiri dalam pusingan akhir Piala Asia AFC 2007, akhbar Utusan Malaysia turut menuntut agar Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah memberi laluan kepada tenaga baharu.

Namun Almarhum tidak mudah melatah. Sesuai dengan perwatakannya, Almarhum meneruskan perjuangan yang diwarnai sekurang-kurangnya dengan dominasi di peringkat Asia Tenggara menerusi emas di Laos 2009, kejayaan Piala AFF 2010 dan emas di Jakarta 2011 – tiga gelaran yang meredakan tekanan serta menebus kegagalan lama FAM.

Selepas membawa pasukan bimbingannya muncul naib juara Piala AFF pada 2014, Dollah Salleh menaruh keyakinan menambah nilai kepada skuadnya. Malangnya skuad negara dibelasah 10-0 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada September 2015, lantas memaksa Dollah meletak jawatan.

Dollah Salleh

Berikutan kegagalan itu, sebuah jawatankuasa petugas khas yang diketuai oleh Datuk Abdul Mokhtar Ahmad diberi terma rujukan untuk mencari pengganti Dollah yang sesuai serta mengkaji keberkesanan program Harimau Muda.

Abdul Mokhtar memanggil ramai pemegang taruh untuk ditemu bual bagi mendapatkan input dari segi keberkesanan program Harimau Muda, yang membawa kepada pembubaran program itu secara keseluruhan. Ini berikutan kegagalan skuad Bawah 23 tahun di Sukan SEA Singapura.

Selepas Nelo Vingada menghabiskan setahun tanpa mencatat sebarang kemenangan, Cheng Hoe diangkat menggantikan jurulatih dari Portugal itu pada penghujung 2017.

Dengan rekod cemerlangnya bersama Kedah serta falsafah permainan yang menarik, Cheng Hoe mentransformasikan hala tuju Harimau Malaya, dengan kemaraan ke final Piala AFF 2018, disusuli prestasi mengagumkan pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan kemenangan ke atas Thailand dan Indonesia serta tewas tipis kepada Vietnam dan UAE. Yang penting, anak didik Cheng Hoe membawa corak permainan menarik, dengan konsep possession-based serta menekan pihak lawan dengan intensiti tinggi.

Malangnya, momentum yang dicipta terputus di tengah jalan apabila perintah kawalan pergerakan dikenakan seluruh negara akibat penularan Covid-19. Dari November 2019 hingga Mei 2021, skuad negara tidak pernah berkumpul turun padang.

Dalam tempoh hampir dua tahun itu, landskap pasukan sudah berubah. Selain Mohamadou Sumareh, sudah ada Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula selaku dua serangkai naturalisasi – dua pemain yang menepati syarat-syarat pemastautin FIFA dan juga memenuhi peraturan undang-undang imigresen negara.

Dibuli oleh UAE dan tewas kepada Vietnam tetapi menang ke atas Thailand, FAM dikritik kerana melancarkan projek naturalisasi.

Prestasi de Paula dan Krasniqi yang memperlahankan tempo permainan pasukan negara mengundang kecaman pelbagai pihak, yang semenangnya tepat.

Menjelang Piala AFF Suzuki 2020, FAM mengumumkan sasaran ke final tanpa mengambil kira bahawa ramai pemain utama yang dibawa ke UAE tidak tersenarai atas pelbagai sebab. Daripada 13 pemain JDT yang tersenarai dalam kem latihan ke Dubai pada Mei 2021, hanya tujuh pemain dari JDT.

Brendan Gan, antara tonggak kekuatan pasukan sepanjang 2019 terpaksa berehat kerana menjalani proses pemulihan penyakitnya, manakala dua rakan tengahnya, Azam Azih dan Syamer Kutty Abba turut tidak tersenarai ke Singapura.

Kekalahan kepada Indonesia dengan jurang yang besar sukar diterima, apatah lagi hanya dua tahun lalu skuad negara mendominasi permainan di Jakarta dan Kuala Lumpur.

Sekembali dari Singapura, Cheng Hoe meletak jawatan… apa yang peliknya, peletakan jawatannya berlaku sebelum FAM sempat melakukan bedah siasat.

Tan Cheng Hoe

Terbaharu, FAM menubuhkan badan bebas untuk mencari punca kegagalan di Singapura yang diketuai oleh bekas pemain kebangsaan, Datuk Dell Akbar Khan.

Adalah menjadi harapan saya agar badan bebas ini benar-benar telus. Selain daripada mencari punca-punca kegagalan atau menganalisis setiap perlawanan, badan bebas ini biarlah bebas memberi cadangan-cadangan untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan, termasuk kaedah pengurusan pasukan kebangsaan, kaedah call-up, penjadualan liga dan serta kakitangan teknikal yang menguruskan unit pasukan kebangsaan.

Dell bukan orang asing dalam FAM. Selaku bekas Setiausaha Agung dari 2000 hingga 2005, beliau masak dengan cara dalaman FAM.

Tapi tugas beliau kali ini jauh lebih hebat. Badan ini kena diberi kebebasan memberi cadangan mengubah lanskap pengurusan pasukan kebangsaan – sama ada wajar diswastakan atau diurus seperti sedia ada tetapi mengikut kaedah berbeza.

Dell dan anggota badan bebas ini tidak harus dicemburui.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, juga harus bingkas berdepan dengan pengkritiknya selesai urusan keluarga di luar negara. Tempoh tiga tahun pertama kepimpinannya di atas lautan tanpa ombak besar kecuali semasa Covid-19 melanda negara, tetapi ‘tsunami’ yang datang selepas kegagalan di Piala AFF menguji daya tahan dan kewibawaannya.

Tempoh “semua okay” sudah tamat buat Hamidin, kini beliau tiada pilihan lain dan harus berdepan dengan wakil wakil media ” face to face” selepas tamat kurantin beliau dan berbicara apakah pelan jangka pendek FAM sementara menunggu cadangan-cadangan badan bebas itu.

Hamidin Mohd Amin

Selain memerah otak mencari pengganti Cheng Hoe, Hamidin dan FAM harus mula mencongak apakah wajar meletakkan sasaran layak ke pusingan akhir Piala Asia pada kelayakan Jun nanti dan menghabiskan tahun 2022 dengan memenangi Piala AFF Suzuki 2022!

Hamidin juga tidak boleh lalai didodoi sesetengah ahli Exco FAM yang lebih banyak menyanyi lagu sumbang dan mengkhayalkan daripada mengalunkan nada pemasalahan sebenar di setiap peringkat.

Jadikanlah Tahun Harimau 2022 ini sebagai tahun kebangkitan Harimau Malaya untuk mengaum lebih garang. Now or never FAM!


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: