Bola Sepak

“Saya sedia pulang dan bekerja dengan sesiapa sahaja, tapi… ” – Teong Kim


Lim Teong Kim

Oleh: SURYATI MOHD NOR

SELEPAS aksi mengecewakan skuad Harimau Malaya di pentas Piala AFF 2020 bulan lalu, pelbagai nama jurulatih dicadangkan oleh penyokong-penyokong setia bola sepak tanah air.

Ia bertambah hangat dibincangkan di kalangan peminat bagi menggantikan tempat ketua jurulatih Tan Cheng Hoe yang meletak jawatannya dua hari lalu.

Antara nama yang yang paling popular disebut-sebut adalah bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Lim Teong Kim yang dicadangkan supaya kembali ke Malaysia dan menyertai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),  memperbaiki struktur yang ‘rosak’ dalam badan induk bola sepak negara ini.

Biarpun jauh beribu batu, Teong Kim,58, yang kini menetap di Munich, Jerman sentiasa mengikuti apa sahaja perkembangan bola sepak tanah air.

Menurut bekas pemain kebangsaan ini kepada CAKAP SUKAN, dia sentiasa bersedia untuk kembali ke Malaysia dan berkongsi pengalamannya.

“Kalau ada tawaran, apa salahnya selagi mengikut terma dan syarat-syarat saya. Selagi mengikut terma dan syarat-syarat saya, sudah tentu kita semua boleh bekerjasama.

Teong Kim bersedia kembali ke Malaysia sekiranya ada tawaran dan tiada campur tangan ke atas kerjanya.

“Dan saya juga boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja selagi mereka tidak mencampuri kerja saya,” tegasnya kepada Cakap Sukan.

Jelas Teong Kim, dia amat memahami situasi dalam pasukan bola sepak Malaysia kerana pernah berada di sana.

“Saya bermain untuk Malaysia selama 12 tahun dengan 85 kali penampilan.

“Pernah bersama dengan jurulatih Frank Lord (1983-1985), Jozef Venglos (1986-1987), Richard Bate (1988) dan Trevor Hartley (1989).

Teong Kim (paling kanan, bediri) bersama skuad Malaysia 1983.

“Cuma tahun 1988 (Bate) saya dan beberapa pemain lain enggan bermain pada tahun ini kerana cara yang diterapkan oleh jurulatih tidak menggembirakan permainan kami. Jadi beberapa pemain berpengalaman digantung FAM selama dua tahun.

“Selepas itu dia meletak jawatan dan saya dipanggil kembali menyertai pasukan Malaysia dan kami berjaya meraih pingat emas Sukan SEA (1989) di bawah kendalian Hartley.

“Jadi sebab itu saya cakap, kalau saya dipanggil untuk bersama pasukan jurulatih Malaysia, ianya mestilah mengikut terma dan syarat-syarat saya kerana dari dulu sehingga sekarang saya faham isunya adalah sama. Dan situasi sekarang masih sama… sama ada sebagai bekas pemain atau pun jurulatih,” jelasnya.

Dalam pada itu, Teong Kim menegaskan bahawa sekiranya dia diberi tugas sebagai jurulatih kebangsaan, beberapa perkara akan berubah.

“Saya boleh janji kepada mereka bahawa cara permainan dan persembahan akan lebih baik lagi dari segi fizikal, dinamik, semangat untuk bersaing, nak menang dan lebih bertenaga. Adat permainan Eropah ini saya boleh janji,” tambahnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: