
Oleh: AMMAR HAZIQ
PEMAIN pertahanan Indonesia, Pratama Arhan kini dilaporkan menjadi sasaran kelab Korea Selatan, Seongnam FC berikutan aksi yang menyakinkannya membantu negara itu muncul Naib Juara Piala AFF 2020 di Singapura.
Menurut portal TEMPO, kelab pemain berbakat besar tersebut iaitu PSIS Semarang bersedia melepaskan sekiranya benar mendapat tawaran dari pasukan luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif PSIS Semarang, Yoyok Sukawi berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk melepaskan Arhan yang masih mempunyai kontrak bersama kelab tersebut sehingga 2023 kerana demi perkembangan kerjaya pemain itu sendiri.
“Saya sudah berbincang dengan Ketua Jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong mengenai minat kelab Korea Selatan terhadap Arhan.
“Jika kelab Jepun atau Korea Selatan berminat, saya sendiri akan hantar Arhan ke sana,” katanya seperti dipetik melalui portal tersebut.

Biarpun belum ada pengumuman rasmi dari kelab-kelab Korea Selatan namun media di negara tersebut, Footballost.co.kr melaporkan beberapa kelab K-league sedang menimbang untuk mendapatkan khidmat pemain yang berusia 20 tahun itu.
Kelibat pemain tersebut menjadi tumpuan di Korea Selatan selepas kejohanan Piala AFF 2020 disiarkan secara langsung di negara itu melalui saluran SBS.
Hal ini memberikan peluang kepada pencari-pencari bakat K-League untuk menonton aksi pemain Indonesia dan menawarkan kepada kelab-kelab yang berminat.
Selain Seongnam FC, Arhan juga turut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab yang beraksi di saingan divisyen 2 Korea Selatan iaitu Daejeon Hana Citizen.
Jika perkara ini menjadi realiti pemain tersebut bakal menjadi pemain Indonesia kedua beraksi di Korea Selatan selepas ketua pasukan Indonesia, Asnawi Mangkualam yang kini beraksi bersama Ansan Greeners.







Add Comment