
Oleh: AMMAR HAZIQ
KETUA pasukan bolasepak Thailand, Chanatip Songkrasin sekali lagi menjadi tumpuan pemerhati dan peminat bolasepak Asia apabila dilaporkan bakal menyertai Juara J-League, Kawasaki Frontale.
Menurut laporan beberapa media utama Jepun pada petang Khamis, pemain yang baharu sahaja membantu skuad Gajah Perang muncul Johan Piala AFF 2020 di Singapura dilaporkan bersetuju untuk menyertai kelab tersebut.
Nilai perpindahan domestik Chanatip dari Hokkaido Consadole Sapporo ke Kawasaki Frontale tidak diumumkan namun dipercayai mungkin paling tinggi dalam sejarah J-League.
Daily.co.jp melaporkan, hal itu dilakukan selepas Kawasaki Frontale memerlukan pemain berkualiti selepas beberapa pemain utamanya seperti Rio Hatate sah menyertai Celtic di Liga Perdana Scotland.
BREAKING: Consadole Sapporo’s Chanthip Songkrasin set to join J.League champion Kawasaki Frontale!!!
— All Things Thai Football 🇹🇭 (@ThaiFootballs) January 7, 2022
Media Portal sponichi.co,jp pula melaporkan, juara J-League itu berminat mendapatkan Chanatip bagi memperkuatkan bahagian serangan pasukan untuk saingan musim baharu.
Pengumuman rasmi berhubung perkara ini bagaimanapun sehingga kini masih dinanti-nantikan semua pihak berkaitan di Jepun dan Thailand dan dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
Pemenang tiga kali Piala Suzuki AFF itu tidak asing di liga utama Jepun itu kerana muncul salah satu pemain import terbaik dalam saingan J-League.
Prestasi cemerlang Chanathip membuahkan hasil apabila beliau pernah disenaraikan dalam J. League Team of the season 2020 serta kesebelasan import terbaik di liga nombor satu Asia itu.
Chanatip mula menyertai Hokkaido Consadole Sapporo pada 2017 secara pinjaman dari Muangthong United namun pada 2019 beliau diikat kontrak secara tetap selepas berjaya memikat kelab Jepun tersebut.
Terbaru, pemain terbaik Piala AFF Suzuki 2020 itu membantu Hokkaido Consadole Sapporo muncul naib juara J-League untuk musim 2021 melalui 23 penampilan yang dilakukannya pada musim lalu.
Add Comment