Antarabangsa

AFCON 2021: Cameroon bermula dengan langkah kanan


Oleh : JJFIRDAUS

PIALA Negara-Negara Afrika (AFCON) 2021 akhirnya membuka tirai semalam selepas ditunda setahun ekoran penularan pandemik Covid-19 dengan Cameroon menjadi tuan rumah untuk edisi kali ini.

Kejohanan terbesar Afrika ini sering mendapat kritikan daripada kelab-kelab Eropah kerana dilangsungkan pada pertengahan musim dengan banyak kelab berasa berat hati untuk melepaskan pemain bintang mereka.

Selain itu, penularan varian Omicron juga turut memberikan impak yang besar terhadap penyokong dan pemain dengan banyak negara menghadapi krisis kekurangan pemain akibat dijangkiti Covid-19 dan terpaksa diasingkan.

Kehadiran penyokong ke stadium juga dihadkan kepada 80 peratus kapasiti untuk perlawanan melibatkan pasukan tuan rumah, Cameroon manakala 60% kapasiti untuk perlawanan lain dan penyokong perlu menunjukkan bukti lengkap dua dos dan mestilah diuji negatif.

Namun begitu, selepas acara pembukaan yang penuh warna warni diadakan di Stadium Olembe Yaounde, perlawanan pertama antara Cameroon dan Burkina Faso berlangsung dengan aksi yang sangat padat.

Cameroon bangkit dari ketinggalan satu gol untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka dengan kemenangan 2-1 sekaligus memimpin carta Kumpulan A.

Dua gol menerusi sepakan penalti oleh kapten, Vincent Aboubakar meletakkan Cameroon dilandasan yang tepat meskipun kelihatan sedikit bergelut selepas ketinggalan menerusi jaringan akrobatik pemain Burkina Faso, Gustavo Sangare pada minit ke-24

Dalam satu lagi perlawanan, Cape Verde yang dilanda jangkitan Covid-19 berjaya mengenepikan cabaran Ethiopia yang terpaksa bermain dengan 10 pemain menerusi tandukan padu pemain penyerang, Julio Tavares pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Dengan kemenangan ini, Cape Verde di tangga kedua Kumpulan A dibelakang Cameroon yang hanya dibezakan jumlah jaringan dengan dua pasukan teratas kumpulan bakal secara automatik ke peringkat 16 pasukan terbaik.

Edisi kali ini menyaksikan 24 pasukan dipecahkan kepada enam kumpulan yang akan bertanding merebut gelaran juara Afrika selepas Algeria muncul juara edisi 2019.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: