Antarabangsa

Torres positif Covid-19 beberapa jam sebagai pemain baharu Barca


BARCELONA berjaya membawa pemain muda Manchester City Ferran Torres dengan nilai perpindahan 55 juta paun (RM310 juta).

Namun peminat-peminat Barca tampaknya perlu bersabar dahulu untuk melihat aksi pemain ini memandangkan dia disahkan positif Covid-19 selepas beberapa jam diperkenalkan.

Pemain antarabangsa Sepanyol berusia 21 tahun itu menandatangani kontrak selama lima tahun setengah dan difahamkan bernilai 46.9 juta paun bersama tambahan 8.5 juta paun.

Barca telah meletakkan 841 juta paun dalam klausa perjanjian.

Torres dijangka akan bersama skuad dalam saingan separuh akhir Piala Super Sepanyol pada 12 Januari ini, namun aksinya mungkin terpaksa ditangguhkan selepas didapati positif bersama rakan sepasukan Pedri.

“Pedri dan Ferran Torres diuji positif Covid-19. Kedua-dua pemain berada dalam keadaan baik dan kini menjalani kuarantin di rumah masing-masing,” jelas kenyataan kelab.

Torres diperkenalkan sebagai pemain baharu Barca. Foro: Getty Images

Sementara itu, Torres sempat berkongsi perasaan ketika berada di Nou Camp pagi Isnin.

“Saya berdepan dengan cabaran bersama cita-cita dan penuh semangat.

“Ketika meninggalkan Manchester City, saya mempunyai idea untuk kembali ke LaLiga dan Barca menunjukkan minat. Saya seorang pemain yang bercita-cita tinggi dan suka cabaran. Saya mahu membawa Barca ke tempat yang sepatutnya dimiliki,” ujar Torres.

Sebagai rekod, Torres berpindah ke City dari Valencia pada 2020 dengan nilai perpindahan 20.9 juta namun hanya menghabiskan 16 bulan di Stadium Etihad dengan 16 rekod jaringan dalam 43 penampilan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d