Bola Sepak

O’Donell tak sabar nak ‘kejutkan’ Harimau Malaya


Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell

Oleh : SUBKHI SUDARJI

HARIMAU Malaya tidak akan mengadakan perlawanan persahabatan dalam tempoh kalendar yang dibuka Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melibatkan zon Asia bermula 25 Januari hingga 1 Febuari depan.

Pengarah Teknikal baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell berkata ini berikutan dia baru sahaja melaporkan diri dalam badan induk bola sepak negara itu, sukar untuk pihaknya mengatur aksi antarabangsa dalam masa terdekat.

“Buat masa ini tiada lagi perancangan untuk mengatur aksi antarabangsa melibatkan skuad Harimau Malaya pada kalendar antarabangsa FIFA pada Januari ini.

“Situasi ini berikutan pasukan Liga Malaysia (Liga M) sedang giat menjalankan sesi latihan pramusim dan tidak wajar untuk kami merencat momentum tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

O’Donell yang juga bekas pemain profesional dari Australia telah menandatangi kontrak selama tiga tahun bersama FAM untuk menjadi pengarah teknikal baharu bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Datuk Ong Kim Swee.

Untuk rekod Indonesia yang bergelar naib juara Piala AFF 2020 di Singapura awal bulan ini telah mengatur perlawanan persahabatan menentang Brunei, Bangladesh dan juga Tajikistan sebagai persiapan menghadapi saingan kelayakan Piala Asia 2023, Jun nanti.

Sementara itu, O’Donell yang pernah bersama Geylang United mengakui tidak sabar untuk memulakan cabaran baharu khususnya dalam membangunkan bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Selepas berbincang dengan pengurusan tertinggi, mereka faham perancangan yang akan saya lakukan untuk bola sepak. Jelas saya mendapat sokongan yang diperlukan sebagai pengarah teknikal.

“Saya tidak sabar untuk memulakan kerja di sini dan berdepan cabaran yang akan mendatang,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: