Bola Sepak

Liga M 2022 : Wan Rohaimi kongsi rahsia keputusan pilih pemain muda


Wan Rohaimi terus diberikan amanah membimbing pasukan musim ini. (Foto : PDRM FC)

Oleh : SUBKHI SUDARJI

KELAB Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil pendekatan berbeza apabila mempertaruhkan majoriti pemain muda dalam pasukan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2022.

Antara pemain baharu PDRM FC ialah bekas penjaga gol Bawah 19 tahun negara, Mohd. Firdaus Irman Mohd. Fadhil (Selangor FC 2), Muhammad Mu’az Zainal Abidin (Penang FC), Muhammad Adib Hakimi Mohd Sabri (Selangor FC 2), Mohd Amier Mohd Ali (Perak FC) selain mengekalkan Nurfais Johari serta Azrie Reza Zamri yang hadir dari Penang FC, pertengahan musim lalu.

Ketua jurulatih PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail, menjelaskan beliau mengambil pendekatan sebegitu kerana lebih selesa bekerja dengan pemain-pemain muda.

Bukannya bermaksud tidak menyukai pemain-pemain senior, Wan Rohaimi menjelaskan sebahagian bakat-bakat muda ini masih ada ruang untuk dibentuk menjadi pemain yang lebih hebat pada masa depan.

“ Seperti mana musim lalu, falsafah yang saya mahu terapkan akan terus kekal iaitu saya mahu melahirkan bintang dalam kalangan pemain muda.

“ Hanya lima pemain sahaja pemain dalam pasukan ini yang boleh dikatakan berpengalaman dengan selebihnya saya ambil bakat-bakat muda yang ingin bermain bagi perkuatkan PDRM.

“ Saya tidak mahu bersandarkan kepada pemain yang ada nama semata-mata tetapi pemain yang boleh bekerja untuk pasukan serta ada kemahuan tinggi dalam diri sendiri, aspek ini ada pada sebahagian besar pemain muda.

“ Begitu juga dengan import, saya akan mendapatkan dua pemain dari Kyrgyzstan yang berusia 28 tahun ke bawah iaitu satu umur kemuncak dalam karier seseorang pemain selain seorang dari Slovakia.

“ Hanya Alexander Amponsah, pemain tengah dari Ghana yang dikekalkan dan tiga lagi import baharu akan diperkenalkan tidak lama lagi,” katanya.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: